EKONOMI

Lawatan anwar Ke Uzbekistan Jana lebih Banyak Peluang Untuk Entiti Perniagaan Malaysia

20/05/2024 12:51 PM

Daripada Kamarul Ariffin Md Yassin

TASHKENT, 20 Mei (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Uzbekistan dari 17 hingga 19 Mei dilihat sebagai peluang untuk entiti perniagaan di Malaysia mengembangkan perniagaan masing-masing dan menembusi pasaran negara ini selain untuk meneroka pasaran Asia Tengah yang lebih luas.

Perbincangan Anwar dengan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev pada hari pertama lawatan Jumaat lepas lebih menumpukan mengenai perdagangan antara kedua-dua negara selain mahu jumlah perdagangan saling ditingkatkan.

Bagi tujuan itu, kedua-dua pemimpin menyatakan sokongan masing-masing untuk mengiatkan tugas Jawatankuasa Bersama Perdagangan antara kerajaan selain mengubah jawatankuasa itu menjadi Suruhanjaya Bersama Antara Kerajaan.

Malaysia dan Uzbekistan juga akan meneruskan lawatan bersama oleh wakil kalangan perniagaan serta menyertai pameran yang diadakan di kedua-dua negara.

Kedua-dua pihak juga akan menganjurkan kerjasama perniagaan dua hala yang kerap dan berkesan bukan sahaja dalam sektor barangan dan perkhidmatan lazim malah juga dalam pelancongan, peluang penjagaan kesihatan dan bidang lain yang memberi manfaat bersama.

Kedua-dua pemimpin juga memaklumkan mengenai peningkatan ketara jumlah perdagangan bersama dari segi barangan dan perkhidmatan sejak tujuh tahun lepas serta keperluan untuk memanfaatkan peluang yang belum diteroka selain saling menyatakan kesediaan untuk mengembangkannya lagi pada tahun-tahun akan datang.

Semasa sidang media bersama, Anwar dan Mirziyoyev menekankan bahawa kepentingan untuk perdagangan antara kedua-dua negara perlu dipertingkatkan.

Dalam lawatan itu, Anwar beberapa kali berkata kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan perlu lebih menumpukan kepada perdagangan.

Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Uzbekistan-Malaysia di Samarkand Silk Road Complex di Samarkand pada Sabtu, yang dihadiri oleh Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Khodjaev menerima sambutan luar biasa daripada syarikat Malaysia dan Uzbekistan.

Kira-kira 200 syarikat menyertai forum itu termasuk syarikat utama milik kerajaan atau swasta.

Antaranya ialah syarikat Uzbekistan dengan perolehan tahunan melebihi RM1 bilion seperti Eriell Group, Korzinka, Orient Group, Murad Buildings dan Asklepiy Group manakala syarikat dari Malaysia ialah Petronas, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional, Proton, Sunway Group dan Sime Darby.

Komitmen perdagangan yang dianggarkan bernilai RM710 juta telah dicapai semasa forum tersebut.

Anwar memberitahu media Malaysia bahawa usaha membantu syarikat kecil dan sederhana Malaysia dalam melonjakkan penembusan pasaran luar negara mereka mesti dipertingkatkan selain untuk meletakkan mereka pada kedudukan yang lebih baik.

Beliau percaya usaha membantu kalangan syarikat itu dalam membina rangkaian kukuh dengan rakan mereka di luar negara juga penting untuk memasarkan produk selain penting dari segi untuk mengangkat kedudukan syarikat kecil dan sederhana.

Pada 2023, jumlah perdagangan dua hala Malaysia dengan Uzbekistan bernilai US$94.03 juta (RM451.1 juta), dengan eksport ke negara Asia Tengah itu bernilai US$93.6 juta (RM449 juta) dan import pula pada US$414,518 (RM1.99 juta).

Usaha supaya lebih banyak syarikat Malaysia meneroka pasaran Uzbekistan adalah sejajar dengan dasar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mempelbagaikan usaha perdagangan dengan menumpukan kepada rakan dagangan bukan tradisional untuk menangani cabaran dalam era globalisasi.

Ekoran cabaran geopolitik yang menjejaskan perdagangan global, MITI juga menumpukan negara seperti di Afrika, Amerika Selatan dan Asia Barat.

Bagi Malaysia, memandangkan perdagangan dengan negara-negara terbesar dunia merosot pada tahun lepas sedangkan perdagangan dengan negara Asia Barat, Afrika dan Amerika Selatan meningkat maka sudah sampai masanya untuk mempunyai perancangan baharu yang bukan sahaja menumpukan rakan dagang terbesarnya seperti China dan Amerika Syarikat.

Lawatan Perdana Menteri juga akan mewujudkan peluang untuk kejayaan kerjasama dalam pelbagai sektor ekonomi, dengan perbincangan mengenai kemungkinan projek bersama dalam tenaga termasuk sumber tenaga boleh baharu, kimia, kejuruteraan elektrik dan elektronik, farmaseutikal, tekstil, industri pelogaman dan perlombongan, pemprosesan produk pertanian dan industri makanan, kejuruteraan dan pembinaan.

Anwar dan Mirziyoyev turut menyokong cadangan penubuhan zon perindustrian Uzbekistan-Malaysia di Uzbekistan yang meliputi laluan selamat untuk barangan serta meneliti rangka kerja undang-undang kerjasama dalam melindungi ahli perniagaan kedua-dua negara.

Malaysia dan Uzbekistan bersetuju untuk meneroka peluang kerjasama dalam sektor petrokimia dan penyelesaian tenaga hijau dengan pihak Uzbekistan menyatakan minat mendalam untuk bekerjasama dengan Petronas, terutama melalui projek metanol-kepada-olefin (MTO) dan derivatif, serta dalam pengeluaran hidrogen hijau dan derivatif yang berkaitan termasuk ammonia hijau.

Berlandaskan semua berita baik dari Uzbekistan ini, terpulang kepada kementerian dan agensi yang berkaitan serta syarikat untuk melaksanakan misi mereka dengan sebaik mungkin selain untuk memanfaatkan peluang yang tersedia demi manfaat semua rakyat Malaysia.

Uzbekistan merupakan destinasi terakhir Anwar dalam lawatan rasmi beliau ke tiga negara Asia Tengah dari 14 hingga 19 Mei. Sebelum ini, Perdana Menteri berada di Republik Kyrgyzstan dan Kazakhstan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan