AM

PAHANG HANTAR BANTUAN BARANGAN 30 TAN KE PALESTIN

20/05/2024 02:46 PM

KLANG, 20 Mei (Bernama) -- Kerajaan Pahang akan menghantar 30 tan barangan bantuan kemanusiaan ke Gaza bagi meringankan beban rakyat Palestin. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia meliputi antaranya pek makanan retort, selimut dan ubat-ubatan yang akan dihantar menerusi jalan laut dari Pelabuhan Klang pada 1 Jun ini dan dijangka tiba di Pelabuhan Said, Mesir pada 4 Julai.

Beliau berkata misi bantuan kemanusiaan dengan kerjasama Ops Ihsan itu adalah hasil kutipan derma menerusi tabung Pahang4Palestine yang mula digerakkan semasa Himpunan Solidariti Pahang4Palestine di Kuantan pada 28 Okt tahun lalu.

"Jumlah kutipan derma menerusi tabung Pahang4Palestine sehingga hari ini berjumlah RM1.6 juta dan kita tukarkan wang tersebut kepada bentuk barangan keperluan untuk dihantar kepada rakyat Palestin. 

"Saya berjanji setiap sen yang disumbangkan akan sampai ke bumi Gaza, itu jaminan kerajaan negeri,  kami ada jawatankuasa khas yang menjaga setiap sumbangan diterima dan dipantau untuk memastikan ia tidak digunakan sewenang-wenangnya," katanya pada sidang media ketika melancarkan misi bantuan berkenaan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata bagi misi bantuan kemanusiaan itu, pihaknya turut mendapat kerjasama Wisma Putra selain komitmen sama diberikan pihak Kedutaan Mesir di Malaysia. 

Pada masa sama, beliau mengecam tindakan kejam rejim zionis terhadap rakyat Palestin yang telah mengorbankan lebih 35,000 nyawa yang rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang tua. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan