AM

FAHMI HARAP BERNAMA TERUS JADI SUMBER BERITA SAHIH, MENYELURUH

20/05/2024 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Bersempena Ulang Tahun Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ke-57 yang disambut hari ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan harapan agar agensi berita negara itu terus menjadi sumber berita sahih.

Menerusi hantaran di platform media sosial X, beliau turut berharap agar Bernama terus melaporkan berita yang menyeluruh, konsisten dan tepat walaupun berdepan dengan arus perubahan penyebaran maklumat serta transformasi digital.

Sementara itu, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias menerusi hantaran di Facebooknya, mengucapkan syabas kepada semua warga Bernama kerana sentiasa menjiwai etiket dan profesionalisme kewartawanan sepanjang tempoh penugasan.

“Jika nak bercakap soal integriti dan profesionalisme jurnalis, saya wajar menitipkan ucapan syabas kepada semua warga Bernama, kerana sentiasa menjiwai etiket dan profesionalisme kewartawanan sepanjang tempoh penugasan.

“Saya nak zahirkan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan media Bernama yang banyak bersama-sama saya sepanjang memberi khidmat kepada rakyat. Semoga Bernama terus menjadi agensi berita yang menyalurkan liputan berita menyeluruh meliputi maklumat tepat, adil dan saksama demi kepentingan nasional,” katanya.

Bernama ditubuhkan pada 1967 oleh Akta Parlimen dan mula beroperasi pada 1968 dengan memulakan perkhidmatan teks berita dan berkembang kepada perkhidmatan foto, sebelum mengendalikan stesen radio pada 2007, televisyen (2008) dan terkini media digital.

Sepanjang lebih lima dekad penubuhannya, Bernama menerusi perkhidmatan berita wires, saluran televisyen dan radio serta platform digital, memberi khidmat berlandaskan objektif penubuhannya dengan menyedia, menyebar luas berita dan maklumat secara tepat, adil dan saksama demi memelihara kepentingan nasional.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan