AM

Kementerian Digital Usaha Tampil Dasar Baharu Pelancaran Rangkaian Persendirian 5g

20/05/2024 06:36 PM

GEORGE TOWN, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Digital akan berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung usaha menampilkan satu dasar baharu mengenai pelancaran rangkaian persendirian 5G, bagi menggalakkan lebih banyak penggunaan teknologi 5G oleh pelbagai industri dalam negara.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata dasar itu bertujuan mengkaji penggunaan spektrum 5G dan bergerak ke arah transformasi digital bagi semua sektor utama termasuk kesihatan, pembuatan, pertanian dan akuakultur ddalam negara.

“Bagaimana kita akan memperkasa dan menggalakkan penggunaan rangkaian 5G apabila ia melibatkan kes-kes ujian industri? Apabila ada industri yang memerlukan teknologi ini, dan teknologinya sudah ada, saya rasa ada peranan yang perlu dimainkan oleh kerajaan bagi memastikan ada akses kepada teknologi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kilang pembuatan pintar 5G persendirian Clarion Malaysia di sini hari ini.

Clairon Malaysia, syarikat pembekal automotif global yang mengkhusus dalam peralatan Infotainment Dalam Kenderaan (IVI) hari ini mempamerkan barisan hasil pembuatan termajunya yang pertama di Malaysia dikuasakan oleh 5G, yang dijanakan oleh Rangkaian Persendirian Yes 5G YTL Communications, serta penyelesaian pekilangan pintar Cnergenz.

Gobind berkata semua kawasan perindustrian ringan dan taman perindustrian utama di negara ini juga harus lengkap dan bersedia untuk mengguna pakai rangkaian persendirian 5G.

Beliau berkata rangkaian 5G mencapai 80.5 peratus liputan kawasan berpenduduk (COPA) di negara ini manakala 90 peratus COPA di Pulau Pinang.

Menyentuh tentang Clarion Malaysia yang pertama di Malaysia menggunakan teknologi IR4.0 dan persendirian 5G dalam bidang pembuatan yang maju, Gobind menyifatkan kerjasama dengan teknologi automasi daripada Cnergenz dan Dassault Systèmes merupakan langkah penting dalam memajukan cita-cita IR4.0 Malaysia.

"5G bukan hanya untuk pengguna, ia akan memainkan peranan penting dalam memacu produktiviti dan daya saing untuk Malaysia. Memiliki rangkaian 5G awam dan persendirian bertaraf dunia akan membantu memacu peningatan ekonomi yang ketara kepada negara," menurut syarikat itu.

Kemudahan pintar Clarion Malaysia menggunakan sambungan 5G Peribadi berkapasiti tinggi ‘Yes’ bagi menyokong operasi kritikal misi dan keperluan keselamatan, manakala Cnergenz menyediakan penyelesaian pembuatan pintar seperti sistem inventori berasaskan Cloud dan Robot Mudah Alih Autonomi (AMR) dikuasakan oleh AI, untuk barisan pengeluaran Clarion Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan