AM

WARTAWAN TENTUKAN CORAK BERITA DI SEBALIK LEDAKAN AI

21/05/2024 08:21 AM

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Kepentingan kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai AI dalam bidang kewartawanan ketika ini tidak dapat dinafikan terutama dalam membantu wartawan membuat kajian dan mencari maklumat. 

Presiden Institut Akhbar Malaysia Datuk Yong Soo Heong berkata walaupun begitu, AI tidak boleh mengambil alih tugas seseorang wartawan yang akhirnya akan mencorakkan sendiri laporan mereka berdasarkan maklumat daripada AI berlandaskan etika kewartawanan. 

“Kebolehan menulis atau menyampaikan sesuatu berita itu adalah kerja hakiki kita sebagai wartawan, kita tidak boleh ‘menyamar’ menggunakan AI untuk membantu kita menipu bos.

“Setiap wartawan patut kagum dengan kebolehan mereka masing-masing, AI ialah alat untuk bantu mereka dalam hal produktiviti dan hal kajian tetapi dalam artikel yang dikeluarkan mereka, kena gunakan kemahiran mereka untuk jana karya tersendiri,” katanya kepada Bernama. 

Yong yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata pengamal media harus bijak dalam menggunakan AI tanpa meminggirkan etika kewartawanan dengan memastikan maklumat yang diberikan adalah berdasarkan sumber sahih sesuai dengan kod etika kewartawanan baharu yang dilancarkan Februari lepas. 

Menurut Yong walaupun AI menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengamal media, ia tidak boleh dijadikan tempat bergantung 100 peratus, sepertimana ditekankan dalam kod etika berkenaan iaitu wartawan perlu memberikan keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan berterusan.

Wartawan veteran, G. Manimaran pula mencadangkan satu rangka kerja etika untuk penggunaan AI dibangunkan di peringkat organisasi media dan nasional bagi menjadi preskriptif dalam usaha mempertahankan kualiti amalan kewartawanan negara. 

Manimaran berpendapat ia sejajar dengan perkembangan teknologi digital dan AI ketika ini yang memerlukan rangka kerja etika berkenaan diwujudkan demi manfaat kesemua pihak yang terlibat dalam industri kewartawanan.

Beliau berkata rangka kerja itu harus melibatkan setiap proses dalam amalan kewartawanan daripada pengumpulan input, penghasilan cerita, suntingan dan pengedaran produk kewartawanan yang pelbagai pada hari ini menerusi platform yang berbeza.

“AI hanyalah satu hasil ledakan teknologi dan satu platform yang memudahkan proses amalan kewartawanan, tetapi nilai kewartawanan itu sendiri tidak boleh dikompromi," katanya. 

Beliau berkata di sebalik potensi ledakan teknologi termasuk AI, terdapat banyak cabaran dari sudut etika kewartawanan termasuklah kurangnya ketelusan penggunaan dan kebergantungan terhadap AI dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab wartawan.

“Keputusan AI tidak selalu dapat difahami oleh manusia, adakala terdedah kepada elemen ketidaktepatan, berat sebelah dan diskriminasi yang sering kali dipandang remeh serta pengawasan dalam proses pengumpulan input dan data," katanya. 

Bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang akan berlangsung di Kuching, Sarawak pada 25 hingga 27 Mei ini, satu Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital' akan diadakan melibatkan penceramah terkenal dari dalam dan luar negara. 

Mengangkat tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan" HAWANA 2024 dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei. 

HAWANA 2024 merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak manakala Bernama selaku agensi pelaksana. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan