DUNIA

Tpm Fadillah Bertemu Menteri Air Palestin, Zahirkan Kesediaan Malaysia Pulihkan Bekalan Air

21/05/2024 06:08 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

BALI, 21 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan Malaysia bersedia untuk membaiki atau membina semula sistem bekalan air bersih pasca konflik di Semenanjung Gaza, Palestin.

Beliau menyampaikan perkara itu kepada Menteri Air Palestin Mazen Ghunaim, yang juga ketua Pihak Berkuasa Air Palestin, semasa pertemuan dua hala di luar mesyuarat kepimpinan tertinggi di Forum Air Dunia ke-10 yang berakhir hari ini, atas permintaan Mazen.

“Mereka melahirkan harapan agar Malaysia dapat memberikan pelbagai bentuk bantuan terutama bantuan teknikal selepas krisis semasa.

“Pada masa ini, bekalan air bersih di sana terjejas teruk dan terganggu,” katanya kepada media Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia juga sedia memberikan bantuan teknikal, dengan syarat dibenarkan masuk ke negara berkenaan.

“Ini memerlukan perbincangan lanjut mengenai kaedah, masa dan cara pelaksanaan dengan pihak Palestin,” katanya.

Menurut Fadillah, Malaysia telah menghantar sedikit bantuan kemanusian termasuk bekalan air botol untuk disalurkan ke Palestin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan