AM

Daftar Pemilih Tambahan April 2024 Dibuka Untuk Semakan - Spr

21/05/2024 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Daftar Pemilih Tambahan Bulan April 2024 (DPT BLN4/2024) diperaku dan diwartakan hari ini, dan semakan dibuka selama 30 hari hingga 19 Jun ini, menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.

Beliau berkata DPT BLN4/2024 itu mengandungi 36,598 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 April 2024 hingga 30 April 2024 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 5,204 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,452 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

"SPR menyeru kepada warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 April 2024 hingga 30 April 2024 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN4/2024," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN4/2024 iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri http://ppn.spr.gov.my; dan aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my.

Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak atau hotline Semakan Pendaftaran Pemilih menerusi talian 03-8892 7218.

Ikmalrudin berkata sekiranya pemilih mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN4/2024, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Beliau berkata mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat melakukan bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, perlu mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN4/2024.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan