AM

Kazan Forum 2024 Platform Terbaik Terokai Industri Halal Rusia - Hdc

21/05/2024 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Halal Development Corporation Berhad (HDC) menyertai Kazan Forum 2024 di Kazan, Rusia baru-baru ini yang menjadi platform antarabangsa untuk membincangkan pembangunan ekonomi, perdagangan dan kerjasama dalam kalangan negara Islam.

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun yang dijemput khas oleh penganjur sebagai ahli panel antarabangsa menyertai pelbagai sesi perbincangan dan panel untuk mempromosikan keupayaan Malaysia dalam ekonomi halal global.

“Delegasi HDC yang diketuai Khairul Azwan menunjukkan komitmen Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal global selaras dengan strategi Diplomasi Halal negara,” menurut HDC dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu semasa sesi panel, Khairul Azwan menekankan kepentingan memanfaatkan platform digital untuk membantu syarikat-syarikat menyertai rantaian bekalan halal dan meningkatkan tawaran nilai pensijilan halal kepada kumpulan sasaran.

Menurut Khairul Azwan, Kazan Forum 2024 merupakan platform yang sangat baik untuk diskusi perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia boleh memanfaatkan platform itu bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan dalam industri halal ke pasaran global serta menarik pelaburan asing ke negara ini.

“Kami di HDC komited untuk meluaskan capaian industri halal Malaysia dan meluaskan lagi rangkaian perdagangan halal melalui Diplomasi Halal yang diterajui Malaysia,” katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut penyertaan HDC dalam forum berkenaan juga membuka peluang kerjasama strategik dengan badan pensijilan halal dari Rusia dan Timur Tengah seperti Gulftic, pusat antarabangsa untuk sijil halal Rusia dan LLC BelHalal.

HDC juga sedang meneroka potensi kerjasama dengan syarikat tempatan Rusia seperti M2 Farm LLC, Miratorg Holding, Sweet Factory "Volshebnitsa", Uniconf dan pengeluar minyak sayuran terkemuka Rusia, Nefis Group untuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi pengeluar bahan halal tempatan.

“Lebih penting lagi, HDC menyasarkan untuk menjalin perkongsian dengan Azerbaijan dan UAE (Emiriah Arab Bersatu) dalam projek pendigitalan yang dijangka dapat meningkatkan perdagangan halal ke tahap lebih tinggi dan mengukuhkan pembangunan perindustrian dalam kalangan negara terlibat,” menurut kenyataan itu.

Usaha ini menurut syarikat itu akan mewujudkan peluang besar kepada pemain industri halal Malaysia untuk menembusi pasaran halal di Rusia dan negara Asia Tengah.

Kazan Forum 2024 menarik lebih 1,000 peserta dari lebih 50 negara termasuk wakil kerajaan, usahawan dan pakar industri.

Penyertaan dalam forum seperti Kazan Forum 2024 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan HDC untuk mengukuhkan diplomasi halal dan mempromosikan Malaysia sebagai hab halal global.

“HDC akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkasakan industri halal Malaysia, mengembangkan pasaran dan mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan