EKONOMI

Pelabur Global Beralih Kepada Aset-aset Ketara Bagi Melindungi Kekayaan - Ahli Ekonomi

21/05/2024 07:29 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Pelabur global beralih kepada aset-aset ketara seperti hartanah, emas, perak, seni dan pertanian sebagai pelindung kekayaan mereka di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran kewangan.

Ketua Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed berkata kelas-kelas aset ketara bersedia untuk mengatasi kategori-kategori aset yang lain.

“Harga emas mencecah paras tertinggi sepanjang masa disebabkan oleh risiko geopolitik, prospek ekonomi makro yang positif dan inflasi yang tinggi.

"Prestasi yang melebihi purata untuk emas telah muncul semula dalam persamaan makro, mendorong pelabur global menggunakannya pada kedudukan jangka panjang," katanya kepada Bernama.

Menurut laporan pasaran Juwai IQI terkini yang menjejaki pergerakan harga komoditi sepanjang tahun lalu, harga tembaga melonjak sebanyak 31 peratus, perak sebanyak 22 peratus, emas sebanyak 18 peratus, zink sebanyak 17 peratus, aluminium sebanyak 16 peratus, minyak mentah West Texas Intermediate sebanyak 11 peratus, dan minyak mentah Brent sebanyak sembilan peratus.

Harga kopi menyaksikan kenaikan enam peratus, manakala petrol, gas asli, minyak yang digunakan untuk pemanasan, dan gandum masing-masing mengalami peningkatan sebanyak tiga peratus, dua peratus, dua peratus dan satu peratus.

“Kami kini telah melaraskan unjuran kami selaras dengan jangkaan pasaran, mungkin harga emas didagangkan di antara US$2,600 dan US$3,000 seauns menjelang Disember 2024.

“Kini aset-aset ketara seperti hartanah, emas dan perak muncul semula dalam portfolio-portfolio aset, mengingatkan kembali era 1970-an,” tambahnya.

Beliau teringat pada tahun 1970-an, di tengah-tengah stagflasi yang disebabkan inflasi yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih rendah, pelabur-pelabur yang canggih beralih kepada emas, perak, minyak, gas dan hartanah.

Shan menekankan bahawa aset-aset ketara itu berfungsi sebagai perlindungan terhadap inflasi dan risiko geopolitik, meletakkannya sebagai insurans kekayaan.

Selain itu, beliau menambah bahawa hartanah mewah berpotensi menjadi mata wang global terbaharu kepada pelabur yang bijak membuat pertimbangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan