EKONOMI

Spm, Tssb Meterai Perjanjian Pembelian Tenaga Hijau, Bangunkan Projek Solar Fotovolta

22/05/2024 12:37 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- System Protection & Maintenance Sdn Bhd (SPM) memeterai memorandum perjanjian pembelian tenaga hijau bersama Tesdec Services Sdn Bhd (TSSB) bagi membangunkan beberapa projek solar fotovolta (PV) atas bumbung di Terengganu.

SPM dalam satu kenyataan berkata melalui kerjasama dengan TSSB, sebanyak lapan projek pemasangan PV telah dijalankan dengan jumlah kapasiti keseluruhan 1.332 megawatt peak (MWp).

TTSB merupakan sebuah syarikat dalam bidang solar, di bawah Kerajaan Terengganu manakala SPM adalah syarikat pembinaan dan kejuruteraan yang mengkhususkan dalam bidang antaranya loji kuasa dan pencawang.

SPM berkata kesemua projek PV itu merupakan program di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0, Government Ministries and Entities (GoMen) dan Program Net Offset Virtual Aggregation (Nova) yang dilaksanakan menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) kepada agensi kerajaan Terengganu.

“SPPA pertama telah ditandatangani pada 6 Dis 2022 bagi projek Pesaka Terengganu Bhd disusuli pada 9 Jan 2023 bagi projek di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu atau lebih dikenali Kolej Tesdec,” menurut kenyataan itu.

Majlis memorandum perjanjian itu ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan SPM Mohd Zaini Abdullah dan Pengurus Besar TSSB Mohd Azrin Mohd Aris@Mohd Aziz di sini, semalam.

Ia turut disaksikan Pengarah Eksekutif SPM Wan Azlina Mohd Zaini serta Ketua Pengarah Eksekutif TSSB Mohd Iskandar Muhammad Aziz.

Turut hadir, Pengerusi Jawantankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau Terengganu Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TSSB merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim Terengganu Sulaiman Sulong.

SPM turut memaklumkan dua projek PV bagi Pesaka dan Kolej Tesdec berjaya disiapkan sepenuhnya pada tahun lepas dan telah memperoleh tarikh mula tugas atau beroperasi masing-masing pada 3 Sept 2023 dan 17 Jan lepas.

“Projek tersebut yang telah dipersetujui dalam SPPA telah pun menjana sebanyak sekitar 270 megawatt-jam (MWh) semenjak tempoh mula tugas.

“Lanjutan daripada itu, terdapat beberapa projek lain yang telah pun disiapkan dan bakal disiapkan dalam masa terdekat ini,” menurut kenyataan itu.

SPM berkata pihaknya komited dalam menjayakan kerjasama tersebut selain memastikan tenaga PV dapat dibangunkan secara menyeluruh berdasarkan objektif yang telah dimeterai melalui perjanjian usahasama dengan TSSB.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan