AM

KERAJAAN LAKSANA PENYASARAN SUBSIDI DIESEL LIBATKAN PENGGUNA DI SEMENANJUNG - PM ANWAR

22/05/2024 01:48 AM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel yang melibatkan pengguna di Semenanjung, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata penyasaran bersubsidi diesel itu, bagaimanapun tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak memandangkan bahan api itu digunakan untuk kenderaan hampir setiap keluarga di kedua-dua negeri berkenaan.

“Jadi, kita menangguhkan sebarang tindakan (penyasaran subsidi kepada pengguna di Sabah dan Sarawak) kerana akan membebankan rakyat terbanyak,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran media tempatan malam ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan di Semenanjung, kerajaan akan menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial dengan bahan api itu.

Beliau berkata subsidi itu melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.

“Maknanya, pengusaha bas, teksi (dan) nelayan akan terus dipelihara dengan subsidi atau bantuan untuk membantu mereka. Jadi, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak (termasuk) petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.

“Ia untuk (golongan) B40 (dan) M40 yang menggunakan kemudahan diesel untuk perniagaan kecil atau penggunaan dalam bidang pertanian, perlombongan, penternakan atau nelayan akan terus dibantu. Maknanya dia (mereka) tidak terkesan daripada kenaikan ini,” katanya.

Menurut Anwar penyasaran subsidi diesel itu tidak melibatkan golongan T20 serta 3.8 juta warga asing, sekali gus memberi penjimatan kepada kerajaan secara kasar kira-kira RM4 bilion setahun, iaitu yang pernah dinikmati oleh kumpulan berkenaan sebelum ini.

“Saya ingin tegaskan di sini, kita naikkan (laksana penyasaran subsidi) tapi tidak (bebankan) rakyat. Kita naikkan kesannya kepada golongan maha kaya dan orang (warga) asing.

“Kalau ada rakyat yang terbeban menggunakan diesel, ada ruang untuk mereka rujuk kepada Kementerian Pengangkutan atau kementerian berkaitan supaya dapat dipastikan penyasaran subsidi diesel itu hanya mengesankan golongan kaya dan (warga) asing dan tidak membebankan mereka (rakyat),” katanya.

Anwar berkata kerajaan juga menambah baik Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan meningkatkan peruntukan kepada RM700 juta, iaitu lebih lima kali ganda berbanding RM130 juta tahun lepas yang akan memanfaatkan 700,000 penerima dengan penambahan nilai bantuan kepada RM1,200 berbanding RM600.

Beliau berkata peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga dinaikkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus daripada RM8 bilion pada 2023 kepada RM10 bilion pada tahun ini yang akan memberi manfaat kepada sembilan juta rakyat penerima bersamaan 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.

“Jadi harus ingat daripada mana kita boleh tambah (bantuan) itu…itu daripada dana kita selamatkan daripada subsidi membazir yang menguntungkan golongan kaya dan warga asing,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata Insentif Pengeluaran Getah juga dinaikkan dua kali daripada RM2.50 sekilogram pada 2022 kepada RM2.70 sekilogram pada 2023 dan RM3 sekilogram pada tahun ini manakala kadar Skim Subsidi Harga Padi ditingkatkan daripada RM360 pada 2022 kepada RM500 per metrik tan pada 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan