AM

445 Graduan Dianugerahkan Sijil Kemahiran Pengurusan Sisa Pepejal, Pembersihan Awam

22/05/2024 12:41 AM

SERDANG, 21 Mei (Bernama) -- Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) hari ini meraikan 445 orang termasuk 258 daripadanya ialah penghuni penjara yang telah berjaya menamatkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada satu majlis konvokesyen yang diadakan hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk M Noor Azman Taib berkata menerusi kursus itu, mereka didedahkan dengan latihan kemahiran secara teori dan amali yang berkaitan dengan skop kerja, pengendalian peralatan dan pematuhan keselamatan mengikut standard Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN). 

“Pelaksanaan SLDN ini ialah suatu usaha untuk memberikan sijil kepada penghuni penjara dalam bidang kemahiran yang bertujuan memudahkan mereka dalam meneruskan kehidupan sama ada bekerja sendiri ataupun bekerja dengan majikan,” katanya pada sidang media selepas majlis konvokesyen itu di sini.

Majlis berkenaan diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia di sini.

Beliau berkata syarikat konsesi di bawah seliaan SWCorp juga telah melaksanakan siri jelajah temu duga di 17 institusi penjara dan sebanyak 137 penghuni penjara atau prospek berjaya dan akan memulakan tugas sebagai pekerja pembersihan di tujuh negeri pada bulan depan.

“Matlamat jangka panjang program ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam industri pembersihan dan mengutamakan tenaga mahir yang terdiri daripada rakyat Malaysia,” katanya.

 Sementara itu, Fauzan (bukan nama sebenar), 53, yang diumumkan sebagai prospek cemerlang dalam konvokesyen itu berkata program berkenaan memberi satu anjakan paradigma kepadanya serta dapat melahirkan lebih ramai pekerja yang kompeten dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. 

“Sebagai prospek kami sering rasa terpinggir. Jadi, dengan cara ini (mengikuti kursus SKM), kami boleh memajukan diri. Kursus yang diberikan oleh Jabatan Penjara dan SWCorp dapat memberi peluang kedua buat saya untuk berbakti pada masa hadapan,” katanya. 

Menyentuh mengenai pengiktirafan sebagai prospek terbaik, Fauzan menzahirkan rasa gembira dengan keputusan cemerlang itu, selain telah terpilih untuk bekerja di sebuah syarikat konsesi pembersihan awam. 

“Sekarang saya masih menjalani (baki) 10 bulan hukuman dan menunggu parol. Saya ingin berterima kasih kepada kerajaan kerana mempercayai kami sebagai prospek selain memberi peluang kepada kami untuk melupakan kenangan pahit,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan