EKONOMI

Pelan Hala Tuju Sc Menekankan Penyelesaian Inklusif Pasaran Modal Bagi Memudahkan Kos Pengumpulan Dana PMks, Mtc

23/05/2024 10:31 AM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Pelbagai langkah diperlukan bagi memastikan penyelesaian pasaran modal yang lebih inklusif dan boleh disesuaikan dengan pelbagai model perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC), menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam "Memangkin Akses PMKS dan MTC kepada Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju Lima Tahun (2024-2028)" yang dikeluarkan hari ini, SC menyatakan bahawa perniagaan-perniagaan seperti itu kerap menghadapi kos pengumpulan dana yang tinggi, terutamanya yang berkaitan dengan yuran profesional dan perbelanjaan pematuhan.

Walaupun ia terpakai kepada pelbagai instrumen pasaran modal, libat urus pasaran telah mendedahkan bahawa kos yang tinggi dan keperluan pematuhan amat mencabar apabila ia melibatkan penyenaraian, kata SC.

“Jumlah kos penyenaraian yang dianggarkan untuk Pasaran LEAP adalah kira-kira RM1 juta hingga RM2 juta (mewakili 13 peratus daripada jumlah dana yang diperoleh).

“Ini diterjemahkan kepada purata kos penyenaraian yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan hanya sembilan peratus dalam Pasaran ACE dan empat peratus dalam Pasaran Utama, yang menyebabkan pertimbangan dilakukan jika mahu disenaraikan di Pasaran LEAP,” kata SC.

Ia juga berkata kos penyediaan yang tinggi untuk penyenaraian juga berpunca daripada kekurangan persediaan untuk memenuhi keperluan-keperluan pematuhan, termasuk keperluan untuk mendapatkan masa tambahan dan nasihat profesional dalam bidang yang mana perusahaan kekurangan pakar.

Walaupun proses mendapatkan kelulusan penyenaraian telah dipercepatkan daripada perspektif kawal selia, libat urus pasaran menunjukkan bahawa terdapat keadaan yang mana penyediaan untuk memenuhi keperluan pematuhan bagi penyenaraian mungkin mengambil masa dua hingga tiga tahun.

“Ini menekankan keperluan untuk langkah-langkah bersasar bagi mengurangkan kos dan menangani kesediaan PMKS dan MTC untuk melakukan perubahan bagi syarikat-syarikat berpotensi tinggi yang bersedia untuk pasaran modal dan penyenaraian,” katanya.

Sementara itu, SC berkata maklum balas daripada libat urus pasaran telah menunjukkan bahawa PMKS dan MTC masih bergelut dengan pelaporan kewangan asas dan tidak menyedari sepenuhnya atau tidak memahami penerbitan ekuiti, yang secara tidak langsung memupuk keutamaan kepada instrumen pembiayaan berasaskan hutang.

"Salah satu halangan utama yang dimaklumkan ialah ketakutan mereka tentang kemungkinan hilangnya kawalan," katanya.

Tambahan pula, kebanyakan program oleh agensi-agensi pembangunan PMKS dan MTC menumpukan kepada pengurusan kewangan dan pembangunan serta pertumbuhan yang meluas, yang mana mungkin tidak secara langsung menangani kesedaran dan kesediaan untuk mengakses pasaran modal.

Dalam memudahkan akses PMKS kepada pembiayaan, usaha kerajaan tertumpu kepada penyediaan bantuan kewangan, kata SC.

Pada 2023, daripada 96 program yang menangani akses kepada pembiayaan, 86 peratus adalah berkaitan dengan pembiayaan mikro, skim jaminan dan skim geran.

Bagi pelabur, antara isu dan cabaran utama yang dihadapi oleh mereka ialah akses yang terhad dan sekatan pelaburan yang menyumbang kepada kebimbangan terhadap mudah tunai dan keluar daripada melabur.

Elemen-elemen seperti itu mungkin bertindak sebagai penghalang kepada penyaluran untuk modal yang lebih besar bagi segmen pasaran berkenaan.

"Libat urus pasaran telah menunjukkan bahawa walaupun keperluan pendedahan yang lebih rendah bagi platform pendanaan ekuiti ramai (ECF), ia lebih mudah diakses oleh pelbagai pelabur yang lebih luas berbanding dengan Pasaran LEAP," kata SC.

Ia juga mengatakan bahawa pelabur menghadapi cabaran dalam menilai risiko yang berkaitan dengan pelaburan PMKS kerana kekurangan maklumat yang telus dan boleh dipercayai.

“Sifat PMKS yang tidak formal menyebabkan tahap asimetri maklumat yang lebih tinggi, menjadikannya mencabar bagi pelabur untuk melakukan penilaian.

“Ketidakupayaan untuk menilai dengan tepat risiko yang berkaitan dengan PMKS memupuk persepsi risiko yang lebih tinggi, mewujudkan halangan kepada pelaburan dalam PMKS,” tambah SC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan