EKONOMI

MOF MAHU LANGKAH BERKAITAN PASARAN LEAP BAHARU TERSEDIA AWAL TAHUN DEPAN

23/05/2024 12:42 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Kementerian Kewangan meminta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menentuukur semula Pasaran LEAP bagi menangani isu akses pembiayaan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC).

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah untuk menggiatkan semula pasaran LEAP perlu tersedia pada awal tahun depan.

“Dua cabaran utama yang dihadapi oleh PMKS dan MTC adalah kos pengumpulan dana yang tinggi dan kurangnya laluan yang jelas untuk mengakses pasaran awam dan seterusnya (ini menjejaskan) peralihan kepada lembaga berperingkat lebih tinggi,” katanya pada pelancaran Pelan Hala Tuju Lima Tahun SC untuk Memangkin Akses PMKS dan MTC ke Pasaran Modal di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Amir Hamzah menegaskan bahawa pengawal selia pasaran modal perlu mengkaji untuk memperluas kumpulan penasihat penyenaraian bagi menyertakan profesional seperti firma perakaunan dan guaman.

"SC juga perlu meneliti untuk membenarkan kaedah pengiraan alternatif kepada penasihat, seperti pembayaran dalam saham bagi menguruskan keperluan aliran tunai syarikat tersenarai, dengan perlindungan berkesan bagi menguruskan konflik kepentingan," katanya.

Beliau berkata, adalah penting penelitian bagi mengurangkan risiko pelaburan PMKS dan MTC, dengan Credit Guarantee Corporation akan meneroka dan berbincang dengan lebih banyak platform pembiayaan ekuiti dan pembiayaan rakan setara untuk menawarkan jaminan bagi penyelesaian mereka.

“Diharapkan, lebih banyak produk jaminan dapat dikeluarkan menjelang separuh pertama 2024, selanjutnya mengukuhkan usaha untuk menyediakan akses lebih luas kepada pembiayaan pasaran modal,” katanya.

Amir Hamzah berkata Capital Markets Malaysia selaku rakan sekutu SC, akan mengeluarkan Panduan Sektor Pendedahan Alam Sekitar, Kemampanan dan Tadbir Urus Dipermudah yang menggariskan pendedahan yang dipertingkatkan melibatkan lima sektor penting dalam ekonomi Malaysia.

“Sektor ini adalah tenaga, pengangkutan dan penyimpanan, pembinaan dan hartanah, pertanian dan pembuatan.

"Ini akan memberikan panduan yang diperlukan mengenai pendedahan alam sekitar dan sosial tambahan yang dijangkakan daripada sektor ini, untuk terus berdaya saing dalam rantaian bekalan dan pasaran global," katanya.

-- BERNAMA


 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan