AM

JAWI Bantah Penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026

30/04/2026 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membantah penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang akan diadakan di ibu negara kerana dikhuatiri membawa kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat, kata Pengarahnya Hanifuddin Roslan.

Beliau berkata JAWI kesal terhadap penganjuran program itu dan berharap pihak penganjur menilai semula konsep pelaksanaannya dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat yang berbilang kaum, agama serta budaya di negara ini.

“JAWI memohon kerjasama semua pihak agar memastikan sebarang penganjuran program berbentuk hiburan tidak mempunyai unsur-unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama dan akhlak masyarakat bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanifuddin turut merujuk Bayan Linnas Siri ke-351 bertajuk “Rain Rave Water Music Festival 2026: Hiburan Ada Batas, Penganjur Memikul Tanggungjawab Dan Konsert Berbentuk Maksiat Wajib Dihentikan”, yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak namun tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh syarak.

Beliau berkata JAWI akan meneruskan program keagamaan melalui kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen di media sosial serta khutbah Jumaat berkaitan kepentingan umat Islam agar sentiasa mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhkan diri daripada terlibat dalam program yang berunsur maksiat.

Katanya JAWI akan menganjurkan bacaan Yasin dan solat hajat secara serentak di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selepas solat maghrib malam ini bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian warga Wilayah Persekutuan serta seluruh rakyat Malaysia.

Sebelum ini dilaporkan sambutan Hari Pekerja Sedunia bersama Festival Muzik Air Rain Rave yang dijadual berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei di Bukit Bintang adalah acara pelancongan tahunan yang dianjurkan secara tersusun di bawah pemantauan ketat.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan