AM

AKSES KEPADA MAKLUMAT PENTING UNTUK LAPORAN BERKUALITI, BENTUK MASYARAKAT BERMAKLUMAT

23/05/2024 02:47 PM

Oleh Ammar Shafiq Hamzah 

KUCHING, 23 Mei (Bernama) -- Keupayaan media dalam mengakses maklumat adalah penting dalam menghasilkan pelaporan yang berkualiti dan tepat untuk disalurkan kepada orang ramai dengan lebih baik.

Wartawan The Star (Sarawak) Sharon Ling berkata media mempunyai peranan sebagai penghubung antara sumber maklumat dan orang ramai.

Beliau berkata akses kepada maklumat tepat membolehkan media memaklumkan kepada orang ramai tentang peristiwa, isu dan perkembangan semasa sekali gus membolehkan individu membuat keputusan dalam kehidupan mereka.

“Inilah sebabnya, yang lebih penting, saya fikir kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat dalam membangunkan dasar boleh menyediakan akses media kepada maklumat dengan lebih baik.

“Secara keseluruhannya, media di Sarawak menikmati hubungan baik dengan sumber maklumat rasmi tetapi sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Sharon yang sudah 23 tahun bergelar wartawan mencadangkan topik capaian maklumat untuk dibincangkan semasa sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang dijadual berlangsung pada 25 hingga 27 Mei ini.

Mengenai topik penambahbaikan industri media di Sarawak, beliau berharap lebih banyak latihan dapat dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran wartawan bukan sahaja dalam pelaporan dan penulisan tetapi juga untuk memahami isu-isu penting khususnya melibatkan Sarawak.

“Isu seperti tenaga hijau, perdagangan karbon dan hubungan antara negeri dan Persekutuan melibatkan teknikal dan pemahaman yang baik, dengan penyediaan latihan ini sudah tentu kami boleh melaporkan isu dengan lebih teliti,” katanya.

Sementara itu, Natasha Jee, wartawan daripada New Sarawak Tribune berkata kesihatan mental dan kesejahteraan wartawan juga perlu menjadi satu daripada agenda untuk dibincangkan semasa HAWANA.

Beliau berkata aspek kewartawanan berkenaan sering diketepikan berbanding topik lain seperti kebebasan media dan etika.

“Perkara ini perlu ditangani, ahli media sering tergesa-gesa memenuhi deadline, dan mempunyai corak tidur tidak teratur. Mungkin ia dapat memberi manfaat dengan inisiatif untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka.

“Semoga ada dasar lebih baik akan diumumkan yang akan memberi manfaat kepada mereka dalam kalangan media,” katanya.

HAWANA 2024 bertemakan ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ adalah perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan acara kemuncak sambutan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei.

Ia adalah anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana.

HAWANA kali pertama diadakan di ibu negara pada 2018, diikuti dengan sambutan berikutanya di Melaka (2022) dan Perak (2023).

Tarikh 29 Mei dipilih sebagai Hari Wartawan Nasional bagi memperingati penerbitan pertama akhbar Utusan Malaysia pada 29 Mei 1939.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan