KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah melaksanakan 1,528 operasi penguatkuasaan di tapak pembinaan di seluruh negara dari Januari hingga April tahun ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu 169 operasi dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur.
“Operasi tersebut dijalankan bukan untuk menyusahkan kontraktor tetapi bagi melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja serta memastikan bangunan yang dibina betul-betul kukuh dan selamat,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi tapak pembinaan di Bandar Baru Sri Petaling di sini hari ini.
Mengenai operasi hari ini, beliau kata ia bermula pada 9.30 pagi melibatkan 160 pegawai penguat kuasa daripada sembilan agensi termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dan Jabatan Kesihatan.
Menurutnya pelbagai kesalahan dikesan dalam operasi itu termasuk bahan pembinaan tidak memiliki piawaian ditetapkan oleh CIDB yang berpotensi membahayakan keselamatan pekerja dan bangunan.
“Lapan tempat pembiakan nyamuk Aedes turut ditemui selain sampah sarap bertaburan yang memudaratkan kesihatan pekerja di tapak pembinaan,” katanya.
Ahmad berkata kawasan pembinaan terbabit telah diarahkan memberhentikan operasi selama 14 hari melalui notis pemberhentian kerja yang dikeluarkan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520) atas pelanggaran berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kontraktor tapak pembinaan agar sentiasa merujuk laman web CIDB bagi mengetahui jenis kursus peningkatan profesionalisme untuk mengelakkan berlakunya kesalahan berkaitan SOP tapak pembinaan.
“CIDB sentiasa mengadakan kursus dari semasa ke semasa. Justeru, kontraktor dan pekerja tapak pembinaan tidak boleh kata mereka tidak tahu kewujudan perkara yang boleh dikenakan kompaun dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial