AM

MPI SEDIA BERI LATIHAN KEPADA KORPORAT TINGKAT KERJASAMA DENGAN MEDIA

23/05/2024 04:36 PM

PETALING JAYA, 23 Mei (Bernama) -- Malaysian Press Institute (MPI) bersedia memberi latihan kepada syarikat korporat untuk meningkatkan kerjasama dan libat urus dengan pihak media.

Presidennya Datuk Yong Soo Heong berkata terdapat permintaan daripada pihak korporat yang ingin memahami kehendak media dalam pelaporan berita bagi mendapatkan liputan yang meluas untuk pengetahuan khalayak.

"Bukan wartawan sahaja yang perlu mengetahui segala aspek yang berlaku dalam industri, tetapi mereka (korporat) juga perlu memberi pendedahan kepada media dengan lebih terperinci supaya para wartawan boleh menulis dengan lebih jelas dan pembaca atau penonton mendapat gambaran yang secukupnya," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog awam MPI dengan pihak korporat, di sini hari ini.

Sesi itu julung kali diadakan bersempena Majlis Meraikan Penyumbang Malam Wartawan Malaysia 2024 yang dihadiri oleh 140 wakil daripada 33 organisasi korporat.

Yong yang juga bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata syarikat korporat perlu merangka kandungan yang berkesan untuk menembusi ruang media dan menarik perhatian khalayak.

"Sebelum ini memang ada pihak korporat yang jemput MPI untuk mengendalikan kursus, tetapi kita ingat kita kena buat secara lebih meluas," katanya sambal menambah media dan korporat saling memerlukan antara satu sama lain.

Yong berkata MPI turut mengalu-alukan sokongan daripada pihak korporat bagi mengadakan kursus lain yang berkaitan dengan industri media.

Sebagai contoh katanya MPI menerima sumbangan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk mengendalikan kursus kecerdasan buatan (AI) bermula September ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Mustapa Omar, Timbalan Presiden Farrah Naz Karim dan Naib Presiden Brian Martin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan