EKONOMI

Manulife Yakin Kekalkan Pertumbuhan Dua Angka Bagi 2024

23/05/2024 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Manulife Holdings Bhd yakin dapat mengekalkan pertumbuhan dua angka bagi tahun ini, dipacu penumpuan berterusan terhadap usaha untuk menembusi pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan dan tidak mendapat perkhidmatan dalam insurans kesihatan dan hayat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vibha Coburn berkata setakat ini, prestasi suku pertama 2024 adalah kukuh, mengekalkan momentum pertumbuhan berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

“Perniagaan kami akan terus berkembang memandangkan bilangan agensi kami juga meningkat sebanyak enam peratus pada akhir suku pertama. Kami mempunyai peluang adil untuk meneruskan momentum pertumbuhan untuk tahun ini,” katanya pada taklimat media di sini, pada Khamis.

Beliau berkata Manulife mencatatkan perolehan operasi sebanyak RM685.21 juta pada tahun kewangan  2023 dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM113.14 juta dalam tempoh yang sama.

Syarikat turut mencatatkan pertumbuhan 24 peratus dari segi jumlah tuntutan bagi 2023, dan membayar tuntutan kira-kira RM193 juta.

“Berdasarkan prestasi tahun lepas, perolehan operasi kami meningkat 11 peratus, yang merupakan pertumbuhan yang sangat kukuh manakala keuntungan sebelum cukai dan selepas cukai pula meningkat dengan ketara masing-masing sebanyak 112 peratus dan 146 peratus.

“Kami amat berbangga dengan jumlah tuntutan yang semakin meningkat ini yang mencerminkan tujuan kami iaitu untuk membayar tuntutan kepada pelanggan kami,” katanya.

Mengenai prospek, Coburn berkata syarikat itu memberi tumpuan kepada proses pendigitalan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan inovasi produk bagi mencerminkan komitmen ke arah memberi perkhidmatan kepada penduduk yang tidak diinsuranskan termasuk Gen Z.

“Gen Z ialah segmen penting dan berkembang pesat memasuki kumpulan tenaga kerja dan kami melihat mereka sebagai aset berharga dengan kemahiran dan aspirasi yang sejajar dengan tawaran program kami,” katanya.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan