DUNIA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR US

23/05/2024 08:26 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Ringgit meneruskan aliran menurunnya berbanding dolar US pada Khamis walaupun Indeks Dolar Amerika Syarikat (AS) merosot kerana pelabur kekal yakin mengenai penurunan kadar faedah AS akan berlaku tidak lama lagi, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.7020/7055 berbanding dolar US daripada 4.6950/6985 ketika ditutup pada Selasa.

Pasaran ditutup pada Rabu (22 Mei) untuk cuti umum Hari Wesak.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata seperti yang dijangkakan, ringgit lebih lemah berbanding dolar US selepas pengumuman Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) malam tadi.

“Nampaknya, pilihan untuk kenaikan kadar faedah masih dipertimbangkan terutamanya jika risiko kenaikan inflasi menjadi kenyataan.

“Jelas sekali, Rizab Persekutuan (Fed) AS belum lagi menamatkan usahanya untuk menurunkan inflasi ke arah sasaran dua peratus dan kelihatan bersedia untuk tidak memperoleh pertumbuhan demi mencapai objektif inflasinya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata mata wang pasaran sedang pesat membangun dijangka kekal tidak menentu.

“Di United Kingdom, kadar inflasi telah turun dengan ketara kepada 2.3 peratus pada April tetapi masih melebihi sasaran dua peratus.

“Inflasi teras juga kekal kerana ia kekal pada tahap tinggi pada 3.9 peratus. Oleh itu, masih belum dapat dilihat sama ada Bank of England akan memilih melaksanakan pelonggaran dasar monetari dalam tempoh terdekat,” katanya.

Pada penutup dagangan hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0012/0036 daripada  3.0071/0095 ketika ditutup pada Selasa dan menokok berbanding euro kepada 5.0993/1031 daripada 5.1044/1082 sebelumnya, bagaimanapun merosot berbanding pound Britain kepada 5.9824/9868 daripada 5.9730/9774 sebelumnya.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia turun berbanding peso Filipina kepada 8.09/8.10 daripada 8.06/8.07, merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 294.0/294.2 daripada 293.4/293.8 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4843/4874 daripada 3.4863/489 ketika ditutup pada Selasa dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8688/8833 daripada 12.9264/9407 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan