EKONOMI

Keuntungan Bersih Klccp Stapled Group Naik Kepada Rm188 Juta

23/05/2024 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih KLCCP Stapled Group untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2024 naik kepada RM188.03 juta berbanding RM180.56 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelum ini.

Pendapatan meningkat 7.4 peratus kepada RM408.90 juta daripada RM380.74 juta selepas disokong oleh pertumbuhan berterusan merentasi semua segmen perniagaan, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

Kumpulan hartanah itu berkata pendapatan segmen runcit turut mencatatkan kenaikan ketara sebanyak 8.3 peratus, mencerminkan strategi yang dilaksanakan berjalan dengan baik dalam pengurusan ruang runcit, yang membawa kepada pertumbuhan sewa asas dan kadar kepenghunian.

Untuk operasi perhotelan, perolehan Mandarin O8riental KL menokok 27 peratus, berubah daripada kerugian sebelum cukai RM2.3 juta kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) RM1.8 juta.

“Usaha pemasaran hotel yang berjaya di sebalik kehadiran jenama yang kukuh telah membawa kepada kadar purata bilik dan kepenghunian yang lebih tinggi iaitu kepada 58 peratus pada suku pertama 2024 daripada 50 peratus yang disaksikan semasa suku pertama 2023.

“Selain itu, segmen makanan dan minuman merekodkan rangsangan dalam jualan selepas didorong oleh acara berkumpulan serta sosial, dengan jamuan menjadi penyumbang utama,” katanya.

Untuk perkhidmatan pengurusan, hasil serta PBT masing-masing melonjak 6.6 peratus dan 4 peratus, mencerminkan aktiviti penyelenggaraan yang dijalankan pada suku tersebut. Selain itu, pendapatan faedah yang lebih tinggi telah menambah baik prestasi keseluruhan.

Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Property Holdings Bhd Datuk Md Shah Mahmood berkata dengan peningkatan berterusan dalam aktiviti ekonomi, kumpulan itu mencatatkan prestasi dari tahun ke tahun yang amat positif, terutamanya dalam segmen runcit dan hotel.

“Prestasi suku pertama runcit dan hotel yang agak mantap selain strategi yang dilaksanakan dengan baik telah meletakkan kami di landasan yang kukuh bagi 2024. Kami kekal fokus pada komitmen kami untuk menyampaikan pertumbuhan yang mampan pada suku akan datang,” katanya.

 KLCCP Stapled ketika mengulas mengenai prospek menjelaskan ia kekal optimistik terhadap unjuran bahawa ekonomi akan terus berkembang dan ini memberi petanda baik bagi kumpulan itu untuk mengekalkan momentum ke hadapan termasuk memanfaatkan pertumbuhan dalam segmen mesyuarat, insentif, konvensyen, pameran serta kenaikan dalam permintaan domestik dan aktiviti pelancongan. “Kelonggaran peraturan visa untuk pasaran utama seperti China dan India dijangka terus merangsang trajektori menaik ini,” katanya.

KLCCP Stapled telah mengisytiharkan dividen sebanyak 9.00 sen bagi setiap sekuriti stapled, 5.9 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun lepas. KLCC REIT Management Sdn Bhd dan KLCC Property Holdings Bhd telah mengumumkan bahawa pengagihan pendapatan interim pertama sebanyak 6.80 sen seunit serta dividen interim pertama sebanyak 2.20 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, akan dibayar menjelang 28 Jun 2024.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan