AM

FAMA SASAR RM7.3 JUTA JUALAN FAMA FEST TAHUN INI

24/05/2024 09:15 PM

NILAI, 25 Mei (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan RM7.3 juta melibatkan 580 usahawan bagi penganjuran FAMA Fest seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarah FAMA Encik Abdul Rashid Bahri berkata sasaran itu melibatkan lapan penganjuran FAMA Fest bermula Februari lepas hingga Disember ini.

Beliau berkata penganjuran acara itu sejak 2017 merekodkan jualan RM24 juta melibatkan 2,180 usahawan serta menarik 2.2 juta pengunjung.

"Bagi Negeri Sembilan, FAMA menyasarkan jualan RM250,000 dengan kedatangan 10,000 pengunjung dalam program empat hari bermula semalam di kawasan tapak parkir AEON Nilai dekat sini.

"Saya melihat pelbagai produk tempatan di negeri ini dapat diketengahkan di peringkat antarabangsa," katanya dalam ucapannya pada Majlis Perasmian FAMA Fest 2024@Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata program tersebut membuka peluang usahawan tempatan mengeksport produk ke pasaran antarabangsa seperti Hong Kong, China dan Thailand dengan potensi jualan sebanyak RM2 juta.

Dalam program itu, Aminuddin turut menyampaikan insentif geran berjumlah RM480,650 kepada 32 penerima meliputi tujuh projek FAMA termasuk Pembangunan Produk Usahawan Mikro IMAT, naik taraf Agrobazaar K-Shoppe, Agrobazaar K-Shoppe Baru serta Program Pembangunan dan Penjenamaan Produk Usahawan Melalui Kerjasama Pihak Industri Berkepakaran (PIB).

Antara tarikan utama FAMA Fest 2024@Negeri Sembilan ialah penawaran pelbagai produk makanan asas tani dan produk segar selain Kombo MADANI dan beras putih tempatan

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kerajaan negeri menerima aduan daripada penternak lembu dan kambing yang berdepan isu lambakan serta memerlukan bantuan FAMA untuk memasarkan ternakan mereka.

"Saya mencadangkan kepada FAMA mencari pendekatan terbaik supaya penternak tidak berasa rugi, saya yakin ada pelbagai kaedah dapat digunakan.

"Negeri Sembilan tidak ada kekurangan daging menjelang Hari Raya Aidiladha, jadi para penternak dinasihatkan menjual pada harga berpatutan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan