SUKAN

Tfc Di Kedudukan Teratas Liga, Benam Kelantan 3-0

25/05/2024 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) mencatat kemenangan kedua apabila mengutip tiga mata penuh untuk berada di tangga teratas kedudukan Liga Super dengan menumpaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-0 malam ini. 

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Kuala Terengganu menyaksikan pasukan tuan rumah memperoleh jaringan pertama menerusi pemain import kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade pada minit ke-35.

Jaringan itu dibuat selepas TFC menerima sepakan penalti daripada pengadil, Muhammad Shukor Zulkiflee yang mengesahkan pertahanan KDN FC menjatuhkan Muhammad Safawi Rasid selepas memeriksa video bantuan pengadil (VAR).

KDN FC yang diketuai Oday Kharoub cuba bangkit melakukan serangan balas namun gagal apabila skuad Penyu yang menguasai permainan menggandakan kedudukan pada minit ke-45 menerusi pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov.

TFC di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner berada di kedudukan selesa apabila Manuel Ott menjaringkan gol ketiga pada minit ke-47 sekali gus menceriakan lebih 13,000 penonton tuan rumah dan keputusan kekal 3-0 hingga ke wisel penamat. 

Tiga mata diperoleh membawa TFC ke tangga teratas kedudukan Liga Super dengan tujuh mata keseluruhan sekali gus memotong pasukan gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala KDN FC  jatuh tiga anak tangga di kedudukan tercorot tanpa mata. 

Sementara itu, satu lagi aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah menyaksikan Perak FC mengatasi tuan rumah Kedah Darul Aman FC (KDA) 2-0.

Pemain import Korea Selatan, Lee Tae Min menjadi wira pasukan apabila menghadiahkan dua jaringan pada minit ke-16 dan 76 untuk memberi pasukan pelawat tiga mata untuk melonjak ke tangga keenam daripada kedudukan tercorot manakala Kedah di tangga kedua terakhir carta.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan