AM

Perak Bangun Modul Khusus Bantu OKU Dapat Kerja - Exco

01/07/2025 01:00 PM

TAIPING, 1 Julai (Bernama) -- Kerajaan Perak melalui beberapa jabatan dan agensi telah membangunkan modul khusus bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) menjalani latihan untuk mendapatkan pekerjaan bersesuaian.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan berkata individu berminat boleh mendaftarkan diri di pejabatnya atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).

Beliau berkata modul itu bukan sahaja menawarkan kursus jangka pendek dan panjang, malah individu yang menghadirinya akan diberikan elaun berjumlah RM50 sehari.

“Pada masa ini terdapat kira-kira 5,000 OKU tidak mempunyai pekerjaan di Perak dan saya fikir melalui modul bersifat jangka pendek (10 hari hingga dua minggu) atau jangka panjang (lebih tiga bulan) akan membantu mereka.

“Ia bukan sekadar satu latihan, malah memberi peluang kepada OKU memulakan hidup baharu melalui kerjaya yang mampu meningkatkan keyakinan serta taraf hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri Besar Perak merasmikan Program 2nd Malaysian Occupational Therapy Simposium Ministry of Health di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Profesion Pegawai Pemulihan dan Jurupulih Perubatan Cara Kerja Kementerian Kesihatan Nora Hamid.

Sivanesan berkata modul yang dilaksanakan itu juga terbuka kepada semua golongan OKU tanpa mengambil kira latar belakang jantina, bangsa dan agama.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya tidak menolak cadangan untuk menyediakan pasukan atau petugas kesihatan bagi memantau serta meningkatkan tahap respons terhadap sebarang kemalangan yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).

Sivanesan berkata cadangan itu sesuatu yang wajar dan akan dikemukakan dalam perbincangan bersama pihak berwajib.

“Cadangan ini sesuatu yang kita rasa wajar untuk dilaksanakan, namun buat masa ini Kementerian Pengangkutan dalam proses meningkatkan tahap keselamatan di JRTB melalui pemasangan lebih banyak lampu jalan serta papan tanda amaran.

“Pembaikan jalan juga dalam proses oleh pihak Jabatan Kerja Raya. Jadi, buat masa ini saya minta supaya semua pengguna berhati-hati dan mematuhi setiap tanda amaran yang diletakkan di laluan JRTB,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan