DUNIA

Niaga Hadapan Msm Dijangka Diniaga Dengan Kecenderungan Meningkat Sedikit Minggu Depan

25/05/2024 10:22 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan sedikit kecenderungan menaik minggu depan berikutan permintaan yang lebih kukuh, kata seorang peniaga.

Menurut peniaga minyak sawit David Ng, syarikat Intertek Testing Services (ITS) menganggarkan eksport minyak sawit Malaysia untuk 1-25 Mei naik 1.37 peratus kepada 1.12 juta tan daripada 1.10 juta tan pada 1-25 April.

“Kami menjangkakan harga akan diniagakan antara RM3,800 dan RM4,000 minggu depan kerana permintaan yang lebih kukuh,” katanya kepada Bernama.

Ng berkata pasaran akan memantau anggaran eksport oleh penyelidik kargo Societe Generale de Surveillance (SGS) pada Isnin.

Untuk minggu yang baru berakhir, niaga hadapan MSM didagangkan bercampur-campur terutamanya disebabkan oleh harga minyak soya Lembaga Perdagangan Chicago yang lebih kukuh dan jangkaan peningkatan pengeluaran pada minggu-minggu akan datang.

Pada asas mingguan, kontrak bulan semerta Jun 2024 susut RM23 kepada RM3,872 satu tan, Julai 2024 turun RM15 kepada RM3,879 satu tan, Ogos 2024 merosot RM7 kepada RM3,885 satu tan dan September 2024 turun RM2 kepada RM3,893 satu tan.

 Sementara itu, kontrak Oktober 2024 naik RM4 kepada RM3,903 satu tan dan November 2024 meningkat RM12 kepada RM3,918 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 249,988 lot daripada 331,614 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka turun kepada 202,898 kontrak daripada 204,710 kontrak seminggu lepas.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan menurun sebanyak RM30 kepada RM3,920 satu tan daripada RM3,950 satu tan pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan