DUNIA

Fbm Klci Dijangka Turun Naik Di Antara 1,610 Dengan 1,635 Minggu Depan

25/05/2024 10:18 AM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka mengalami turun naik di antara 1,610 dengan 1,635 minggu depan, manakala sebarang penurunan mungkin disokong pada paras 1,590 hingga 1,600.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berpandangan unjuran terhadap ekuiti Malaysia kekal stabil walaupun prestasi rendah pada Jumaat, susulan penilaian murah di samping asas ekonomi domestik yang kukuh akan memacu pasaran ke hadapan.

“Indeks penanda aras telah meneruskan kenaikan kukuhnya, melepasi paras 1,620 pada Isnin untuk mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

“Walaupun kami menjangkakan pergerakan kukuh yang berterusan ini berhenti setika susulan lonjakan ini namun, indeks kekal di atas semua purata pergerakan eksponen (EMA),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata aliran meningkat bagi EMA 20 hari dan 50 hari menunjukkan FBM KLCI tidak banyak berubah dan dengan kecenderungan positif.

Pada Isnin, saham di Bursa Malaysia melepasi paras rintangan 1,620 mata untuk mencapai 1,627.50 apabila dana mengalir masuk, memacu indeks utama kepada paras tertinggi yang kali terakhir pada Mac 2021.

Menerusi catatan di X baru-baru ini, bursa saham memaklumkan permodalan pasaran keseluruhan Bursa Malaysia dan dagangan indeks barometer mencapai satu lagi paras tertinggi setakat ini bagi tahun ini, dipacu keyakinan yang wujud susulan prestasi ekonomi domestik yang lebih baik daripada jangkaan bagi suku pertama.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia didagangkan bercampur-campur susulan aktiviti pembelian dirangsang oleh pembuat cip Amerika, Nvidia yang merekodkan keuntungan kukuh selain prestasi perdagangan Malaysia yang menggalakkan pada April 2024.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI menokok 2.78 mata kepada 1,619.40 daripada 1,616.62 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 45.65 mata kepada 12,353.83; Indeks FBM 70 melonjak 150.89 mata kepada 17,791.95; dan Indeks FBMT 100 menambah 42.24 mata kepada 11,948.25.

Indeks FBM Emas Syariah menokok 108.54 mata kepada 12,630.75 dan Indeks FBM ACE meningkat 192.93 mata kepada 5,544.15.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 43.38 mata kepada 17,688.99; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.83 mata kepada 196.65; Indeks Tenaga menokok 15.58 mata kepada 1,001.53 manakala Indeks Perladangan susut 84.40 mata kepada 7,302.3.

Jumlah dagangan susut kepada 24.18 bilion unit bernilai RM17.85 bilion daripada 28.69 bilion unit bernilai RM19.76 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 15.20 bilion saham bernilai RM15.65 bilion daripada 17.06 bilion saham bernilai RM17.24 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran sebanyak 4.76 bilion unit bernilai RM656.51 juta berbanding 6.20 bilion unit bernilai RM908.91 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE juga berkurang kepada 4.19 bilion saham bernilai RM1.53 bilion daripada 5.42 bilion saham bernilai RM1.61 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan