AM

INSIDEN BALAI POLIS ULU TIRAM: KOPERAL MOHD HASIF DIBENAR KELUAR HOSPITAL

27/05/2024 03:01 PM

JOHOR BAHRU, 27 Mei (Bernama) -- Anggota polis yang cedera ditembak di bahu dan pinggul dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, di sini pada 17 Mei lepas sudah dibenarkan keluar dari Hospital Sultan Ismail (HSI) pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, yang dirawat selama sembilan hari di hospital berkenaan diberikan cuti selama dua bulan.

“Pastinya insiden itu menyebabkan trauma kepada Mohd Hasif dan dia juga telah mendapatkan rawatan kaunseling ketika di hospital… sekiranya perlu, sesi kaunseling akan diberikan lagi.

“Keadaannya kini stabil, boleh berjalan dan tidak memerlukan tongkat.. (bagaimanapun) dalam tempoh dua bulan dia akan terima rawatan berkala,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Johor Kepada Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor CP M Kumar.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi itu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang oleh seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang manakala Mohd Hasif ditembak.

Tujuh individu direman seminggu bermula 18 hingga 24 Mei lepas bagi membantu siasatan kes terbabit.

Mereka terdiri daripada lima ahli keluarga suspek dan dua pelajar yang turut berada di lokasi kejadian ketika insiden berlaku.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata lima sekeluarga itu ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 selepas tempoh reman tamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan