AM

CARUMAN PERKESO BERI KEYAKINAN PENGAMAL MEDIA SAMBILAN BERAKSI DI LAPANGAN

28/05/2024 01:56 PM

KUCHING, 28 Mei (Bernama) -- Carumam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada pengamal media sambilan seluruh negara memberi keyakinan dan jaminan kepada golongan berkenaan beraksi di lapangan bagi menghasilkan pelaporan berita.

Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Media Prima Berhad Kamaruddin Mape berkata usaha berkenaan tepat pada waktunya, sekali gus mempamerkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan pemberita sambilan atau ‘stringers’ di Malaysia. 

“Di Media Prima Berhad stringers ini kebanyakannya berada di biro negeri dan melibatkan jurukamera, jadi lebih kurang ada 100 lebih staf kami yang akan mendapat manfaat ini di seluruh negara.

“Jurukamera kadang-kadang mereka perlu lalui cabaran dari sudut keselamatan di lapangan ketika melaporkan contohnya sewaktu banjir, kebakaran dan bencana yang lain,” katanya kepada Bernama di sini, semalam. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika berucap pada kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 semalam berkata Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan menampung inisiatif itu bagi tempoh setahun bermula 1 Julai ini.

Kamaruddin berkata berita baik yang dinanti-nantikan itu sudah semestinya mengurangkan beban golongan pemberita sambilan khususnya apabila mereka dilanda musibah ketika menjalankan tugas. 

“Kita berharap kerajaan boleh pertimbangkan bukan hanya setahun inisiatif ini tetapi sekurang-kurangnya untuk dua hingga tahun lagi,” katanya.  

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Datuk Suhaimi Sulaiman berkata inisiatif berkenaan diharapkan memberi kesedaran kepada petugas media sambilan untuk mencarum sendiri ke dalam Perkeso pada masa hadapan demi kebajikan mereka. 

“Bagi RTM, kita ada anggaran dalam ratusan pengamal media sambilan dan kita sentiasa ingatkan khususnya yang ‘piecemeal’ atau stringers untuk buat sendiri caruman, ini sebelum pengumuman menteri (Fahmi) lagi.

“Jadi mereka harus bersedia untuk carum sendiri selepas ini kerana bantuan kali ini hanya untuk setahun, kita harus sedar dan berusaha membantu diri sendiri dulu,” katanya. 

Sementara itu, wartawan penyiaran sambilan Astro Awani Borneo Adilah Sulaiman, 28, berkata bantuan kerajaan itu sekurang-kurangnya memberikan jaminan jaringan keselamatan sosial ketika bertugas di lapangan terutama bagi tugasan berisiko tinggi.

“Sebelum ini, saya khuatir jika ditugaskan ke lapangan seperti menyertai operasi penguatkuasaan di udara mahupun di tengah laut kerana tiada sebarang jaminan perlindungan diri, bagaimanapun demi tuntutan tugas dan sebagai punca pendapatan, saya terpaksa akur dan menggambil risiko," kata petugas media kelahiran Kuching itu.

Bagi wartawan sambilan akhbar Utusan Malaysia Pulau Pinang Iqbal Hamdan, 32  beliau kini lebih bersemangat untuk melakukan tugas harian termasuk melibatkan diri dalam tugasan mencabar dan berisiko seperti laporan jenayah.

Menurutnya jika ditimpa musibah ketika bertugas, sekurang-kurangnya beliau atau waris layak menerima manfaat caruman itu.

Presiden Kelab Media Kelantan (Kemudi) Yatimin Abdullah pula berkata pemberian kemudahan jaringan keselamatan sosial berkenaan disifatkan sebagai satu pengiktirafan besar kepada tugas, peranan serta pengorbanan golongan wartawan sambilan yang sama-sama bertungkus-lumus dalam menyajikan berita-berita terkini.

Katanya selain bidang tugas yang mencabar, wartawan sambilan tidak menikmati kemudahan sebagaimana petugas tetap, malah gaji mereka bergantung sepenuhnya kepada pengunaan kandungan berita yang diterbitkan atau disiarkan agensi media masing-masing.

"Apa yang dilakukan kerajaan adalah satu penghormatan yang tidak terhitung nilainya khususnya untuk golongan wartawan sambilan sebab peranan yang disumbangkan mereka bukanlah kecil," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan