AM

KPWKM SASAR PROGRAM KASIH KANAK-KANAK DI 300 SEKOLAH SELURUH NEGARA TAHUN INI

28/05/2024 03:34 PM

GEORGE TOWN, 28 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan untuk melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: KASIH Kanak-Kanak di 300 sekolah di seluruh negara tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata ketika ini program yang menggerakkan semua anggota masyarakat bersama melindungi dan membina persekitaran selamat untuk kanak-kanak itu sudah 30 peratus dilaksanakan di sekolah terlibat.

"Program KASIH Kanak-Kanak dilancarkan tahun lepas dan kita telah laksanakan di lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Sabah, Kelantan,Selangor dan Sarawak. Tahun ini kami teruskan lagi di Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dengan seterusnya negeri-negeri lain sehingga penghujung tahun ini.

"Kami sasarkan 300 buah sekolah pada tahun ini kerana mahu memberi pendedahan kepada anak-anak mengenai hak mereka terutama kalau ada yang didera atau pengabaian, jadi mereka boleh terus hubungi 15999 (untuk buat aduan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Persidangan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Peringkat Asia Pasifik, di sini hari ini.

Nancy berkata program itu bertujuan mencegah penderaan serta pengabaian kanak-kanak dan KPWKM bergantung kepada sokongan agensi kerajaan yang lain serta guru dan komuniti setempat  dalam menjayakannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata fokus KPWKM iaitu menjaga kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan kumpulan sasar khususnya kanak-kanak sentiasa diberi penekanan melalui pelbagai program advokasi serta khidmat sokongan.

Justeru, Program Advokasi KASIH Kanak-Kanak itu menjadi platform kepada masyarakat khususnya guru, Persatuan Ibu Bapa dan Gurub(PIBG) dan komuniti setempat untuk berperanan dalam membantu KPWKM mencegah berlakunya peningkatan kes penderaan serta pengabaian kanak-kanak.

"Setakat ini ramai juga terutama PIBG yang minta supaya kami mengadakan di sekolah mereka kerana impaknya sangat baik kepada kanak-kanak dan (kami) akan laksanakannya mengikut jadual yang kita tetapkan," katanya.

Menerusi program itu KPWKM turut melawat kaunselor dan tempat kaunseling di sekolah terlibat  untuk mendengar sendiri daripada kanak-kanak apa yang mereka hadapi supaya tindakan segera dapat diambil.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan