AM

NILAI MADANI BOLEH JADI PANDUAN HARUNGI KETIDAKTENTUAN DUNIA PASCA NORMAL

28/05/2024 03:50 PM

Oleh Rosmalis Anuar

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Nilai konsep MADANI boleh berfungsi sebagai panduan mengharungi ketidakpastian dan kejahilan yang wujud dalam era pasca normal yang penuh dengan kerumitan, huru-hara dan percanggahan semasa, kata sarjana terkenal antarabangsa Prof Ziauddin Sardar.

Pengarah Pusat Kajian Polisi Pasca Normal dan Kajian Masa Depan (CPPFS) itu berkata MADANI ialah visi masyarakat sivik berlandaskan enam nilai teras iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan yang juga dikenali sebagai SCRIPT.

“Anda perlu sedar tentang kerumitan, percanggahan dan kekacauan yang wujud di sekeliling kita dalam dunia global, satu-satunya cara anda boleh mengemudi permasalahan berkenaan adalah melalui nilai yang anda sendiri miliki.

“Inilah sebabnya konsep MADANI diperkenalkan… MADANI adalah suatu visi untuk negara Malaysia yang lebih baik berteraskan enam nilai ini,” kata sarjana British-Pakistan itu dalam temu bual di Pameran MADANI Era pasca normal di Berjaya Times Square di sini.

Pameran yang berlangsung selama lebih enam bulan bermula 26 Mei hingga 10 Nov itu dianjurkan oleh CPPFS dengan kerjasama Institut Pemikiran Islam Antarabangsa, Asia Timur dan Asia Tenggara, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kemasukan ke pameran itu adalah percuma, sejajar dengan matlamatnya untuk meningkatkan kesedaran tentang era pascanormal yang dialami oleh rakyat dan bagaimana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha untuk menggabungkan pengalaman politik dan keazamannya untuk pembaharuan, menggabungkan pandangan daripada teori pasca normal dan pengajian masa hadapan.

Pameran yang disusun oleh Ziauddin dan Penolong Pengarah Eksekutif CPPFS C Scott Jordan itu menampilkan karya enam artis tempatan yang mengetengahkan enam tonggak utama konsep MADANI.

Menjelaskan konsep "era pasca normal", Ziauddin berkata ia menggambarkan sifat dunia yang pesat berubah, apabila masyarakat hidup dalam zaman dengan corak pemikiran lama dan rangka kerja yang telah ditetapkan untuk memahami dunia, tidak lagi sesuai.

“Bukan hanya perkara yang berubah seperti yang kami nyatakan dalam pameran ini, perubahan itu sendiri juga berubah, dan anda menyedari hakikat bahawa dunia ini penuh dengan percanggahan, ia adalah dunia kompleks yang saling berkaitan.

"Oleh itu, anda tahu bahawa tiada penyelesaian mudah dan apa sahaja yang anda mahu lakukan di Malaysia tidak boleh dipisahkan atau diasingkan daripada apa yang berlaku di seluruh dunia pada masa yang sama," katanya sambil menambah bahawa banyak perkara yang diambil sebagai konvensional, prinsip atau biasa tidak lagi wujud.

Menggunakan perubahan struktur kuasa konvensional sebagai contoh, Ziauddin berkata Amerika Syarikat tidak lagi dianggap sebagai kuasa besar berikutan peningkatan pengaruh negara lain seperti China, India, Turkiye, dan Brazil.

“Apa yang kita anggap biasa, tidak berlaku lagi. Kita menganggap bahawa kapitalisme adalah cara biasa dalam perniagaan tetapi kini kapitalisme sedang runtuh. Ia menyebabkan ketidaksamaan, yang kaya semakin cepat kaya, yang miskin semakin miskin,” tambahnya.

Sementara itu, Jordan berkata Malaysia adalah lambang negara pasca normal kerana kepelbagaian dan budaya yang menyaksikan proses demokrasi berkait dengan ideologi Melayu dan Islam di samping perspektif masyarakat Cina, India, Orang Asli dan kumpulan etnik lain di Sabah dan Sarawak.

"Eksperimen demokrasi di Malaysia adalah sesuatu yang amat luar biasa yang dapat anda saksikan di seluruh dunia dan kerana itu, terdapat satu teras yang matang di negara ini apabila era pasca normal berlaku," katanya.

Jordan berkata pameran itu bertujuan untuk menyedarkan rakyat Malaysia tentang perkembangan masa kini, menawarkan perspektif mengenai potensi masa depan dan membimbing masyarakat dalam merancang hala tuju masa depan yang diidamkan.

Pameran era pasca normal yang pertama berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober 2023 dan CPPFS berhasrat untuk meluaskan jangkauannya ke Pulau Pinang dan Sabah pada masa hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan