AM

MODEL PERODUA, TOYOTA DI MALAYSIA PATUHI PIAWAIAN KESELAMATAN - LOKE

28/05/2024 04:29 PM

PUTRAJAYA, 28 Mei (Bernama) -- Semua model kenderaan Perodua dan Toyota di Malaysia mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan Peraturan United Nations (UN) seperti ditetapkan di bawah Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA). 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkara itu disahkan berdasarkan semakan serta penelitian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas setiap data dan keputusan pengujian semula ke atas enam model Perodua serta tiga model Toyota. 

Sesi pengujian semula kenderaan terbabit dilaksanakan sepenuhnya pada Mac lepas oleh Technical Services (TS) yang kompeten dan diiktiraf oleh World Forum Harmonisation of Vehicle Regulation (WP29) menerusi rangka kerja United Nations Type Approval.

“Berdasarkan semakan serta penelitian lanjut JPJ ke atas setiap data dan keputusan pengujian semula itu adalah disahkan semua model kenderaan terbabit mematuhi sepenuhnya piawaian keselamatan Peraturan UN seperti ditetapkan di bawah prosedur VTA semasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan pengujian semula dilaksanakan kepada Perodua dan Toyota susulan insiden prosedur pengujian keselamatan kenderaan tidak teratur oleh Daihatsu Motor Corporation (DMC), Jepun.

Beliau berkata pengujian semula kenderaan Perodua dan Toyota yang berkaitan DMC membabitkan enam pematuhan Peraturan UN antaranya ‘sistem brake’ dan ‘frontal impact’.

Enam model Perodua yang menjalani pengujian semula ialah Axia (generasi pertama); Axia (generasi kedua); Alza (generasi kedua); Aruz, Ativa, Bezza dan Myvi. 

Tiga model kenderaan Toyota pula ialah Rush, Vios dan Veloz.

“Dianggarkan sejumlah 1.7 juta unit kenderaan bagi kedua-dua pembuat kenderaan terlibat dengan isu berkenaan di dalam pasaran Malaysia,” katanya.

Loke berkata kesemua laporan pengujian semula dipaparkan kepada umum menerusi laman sesawang JPJ iaitu https://bit.ly/JPJDaihatsu bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan.

“JPJ akan meneruskan pemantauan secara tegas ke atas kedua-dua pengeluar kenderaan itu serta DMC bagi memastikan mereka melaksanakan tindakan penambahbaikan yang ditetapkan.

“Antara penambahbaikkan terlibat adalah pengemaskinian tatacara pelaporan pengujian dalaman dan pelaksanaan aktiviti pematuhan pembuatan secara berkala melibatkan pihak berkuasa iaitu JPJ secara berkala,” katanya. 

Mengenai insiden tular kegagalan gandar kenderaan model OMODA 5 buatan Chery, Loke berkata JPJ telah memanggil syarikat Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd pada 2 Mei lepas untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata Chery memanggil semula 600 unit kenderaan OMODA 5 berkuat kuasa 3 Mei lepas bagi memastikan keselamatan pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya.

Sehingga 27 Mei lepas, sebanyak 575 unit kenderaan Chery OMODA 5 selesai diperiksa di bawah aktiviti pemanggilan semula oleh syarikat Chery yang mewakili 95.83 peratus kenderaan yang terlibat.

“Pihak syarikat Chery telah menghubungi baki sebanyak 25 unit lagi pemilik kenderaan Chery Omoda 5 bagi janji temu pemeriksaan dengan jangkaan aktiviti ini akan diselesaikan sepenuhnya akhir Jun ini,” katanya.

Beliau berkata JPJ akan memantau pelaksanaan proses ini dan komited untuk memastikan kesemua unit yang terlibat dibuat pemeriksaan serta disahkan selamat selain proses penggantian komponen gandar dilaksanakan bagi kenderaan yang terjejas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan