AM

PAMERAN NINGYO TEROKA KEINDAHAN ANAK PATUNG JEPUN

28/05/2024 06:24 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Lazimnya, anak patung adalah mainan kanak-kanak yang dibuat menyerupai manusia, namun di Jepun, ia menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakatnya sekali gus mencerminkan kepentingan budaya serta peranannya sejak zaman purba.

Bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk meneroka keindahan anak patung Jepun, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan The Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL) serta Kedutaan Jepun menganjurkan Pameran Ningyo: Art and Beauty of Japanese Dolls.

Pameran ini diadakan di ruang tengah Muzium Negara, Kuala Lumpur bermula 7 Mei lepas hingga 8 Julai depan.

Pengarah JFKL Tsukamoto Norihisa berkata, pameran itu bertujuan mendedahkan masyarakat tempatan dengan aspek budaya dan peranan anak patung dalam masyarakat Jepun, bermula dari abad ketujuh hingga era moden.

"Ningyo adalah perkataan Jepun yang bermaksud 'anak patung', justeru, pameran ini meneroka anak patung Jepun dan budayanya yang dipupuk dalam sejarah dan cerita rakyat Jepun dengan tumpuan kepada cara ia digunakan dalam perayaan bermusim yang dilihat sebagai seni rakyat. 

"Kami berharap pameran ini dapat memperkenalkan budaya Jepun kepada masyarakat tempatan di samping menikmati seni dan keindahan budaya Ningyo serta kepelbagaiannya," katanya kepada Bernama.

Tsukamoto yang fasih berbahasa Melayu berkata, pameran itu memaparkan 67 anak patung Jepun yang memberikan pengenalan menyeluruh kepada budaya, berfokus kepada empat bahagian iaitu penggunaan Ningyo dalam ritual pertumbuhan kanak-kanak, peningkatannya kepada seni halus, manifestasinya dalam tradisi rakyat, dan peranannya dalam budaya Ningyo yang semakin meluas.

Beliau menambah, rakyat Jepun menerapkan budaya anak patung sebagai ritual untuk mendoakan kesejahteraan tumbesaran anak-anak. 

"Semasa perayaan Hina Matsuri (perayaan kanak-kanak perempuan) setiap 3 Mac, Hina Ningyo akan dipamerkan di rumah dan kuil, berdoa untuk kebahagiaan dan perlindungan kanak-kanak perempuan. 

"Anak patung ini, Dairi-bina berpakaian dalam pakaian tradisional yang rumit dan disusun pada platform bertingkat. Dairi-bina mewakili Maharaja dan Maharani dari zaman Edo (1603-1868) di bahagian atas diikuti oleh Sannin-kanjo (tiga hamba perempuan mereka) dan lima anak patung pemuzik yang dikenali sebagai Gonin-bayashi," katanya. 

Seeiring peredaran masa, katanya, anak patung mula digemari sebagai objek seni untuk dipamerkan dari sekitar abad ke-17 menerusi hasil kerja tangan yang rumit dalam pembuatan setiap anak patung. 

"Ia melibatkan seni ukiran yang rumit, warna dan pakaian yang dilengkapi butiran halus dan kalungan bunga  seperti anak patung Isho Ningyo: Fuji Musume (Wisteria Maiden), yang  kostumnya adalah versi pakaian tarian sebenar yang mewakili semangat tarian bunga Fuji dan Isho Ningyo: Maiko yang menggambarkan seorang gadis muda yang membuat persembahan tarian di jamuan tradisional di Kyoto," katanya. 

Tsukamoto berkata, pameran itu turut mengetengahkan anak patung dari pelbagai wilayah di Jepun, masing-masing mempunyai ciri serta personaliti tersendiri selain tentang budaya rakyat Jepun serta evolusi ketukangan anak patung selama puluhan tahun.

"Contohnya, Ningyo Joruri, seni persembahan tradisional Jepun yang menggunakan boneka, setiap satu dikendalikan oleh tiga individu, bagi mempersembahkan pelbagai hikayat dan cerita yang berbeza," katanya, yang berharap pelbagai kerjasama dapat diteruskan pada masa akan datang.

Tidak ketinggalan, katanya, pameran itu turut menampilkan koleksi anak patung khas buat peminat anime yang menggambarkan watak-watak kesayangan daripada siri anime dan permainan. 

Menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung sepanjang pameran ini, Kurator Bahagian Pameran dan Penyelidikan Muzium Negara Shenna Anak Skem berkata, pameran itu diadakan bagi mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia - Jepun yang terjalin selama 67 tahun.

"Pameran ini adalah satu langkah proaktif dan kolaboratif strategik JMM dengan JFKL yang diharap dapat memberi impak dalam hubungan Malaysia - Jepun," katanya.

Sempena pameran itu, Muzium Negara dan JFKL dengan kerjasama Animangaki akan mengadakan Hari Kebudayaan Jepun pada 1 Jun ini, dengan menawarkan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan, seperti bengkel, demonstrasi dan pertandingan yang berkaitan dengan budaya Jepun. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan