AM

KPM TERUS TUMPU LATIH GURU AGAR MAHIR DELIMA

28/05/2024 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) terus menumpukan usaha melatih guru yang belum menguasai sepenuhnya penggunaan portal Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) dari semasa ke semasa.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata langkah itu sejajar dengan tema Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-53 iaitu “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI”.

“Kita akan pantau guru dengan memberikan latihan berterusan supaya mereka (guru) dapat memahaminya, kerana saya yakin ia mudah untuk dipelajari,” katanya.

Beliau berkata kepada Bernama selepas Majlis Pelancaran Bahan Sokongan Digital Pendidikan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

DELIMa yang dilancarkan pada 15 Jun 2020 merupakan pelantar pembelajaran digital KPM yang dibangunkan untuk mengupayakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian.

Wong berkata menerusi inisiatif DELIMa, proses pembelajaran menjadi lebih interaktif dan setakat ini sebanyak 788 buku teks telah dimuat naik secara digital ke dalam platform berkenaan.

“KPM sudah memuat naik buku teks sebanyak 352 buah bagi sekolah menengah dan 436 untuk sekolah rendah. Jadi sekiranya anak-anak ada kemudahan Internet dan tablet di rumah, maka pembelajaran dapat dilaksanakan pada bila-bila masa dan tidak terhad ketika di sekolah,” katanya.

Mengulas mengenai isu 10,160 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang tidak hadir peperiksaan itu, Wong berkata angka terbabit sebenarnya telah menurun berbanding 2022.

“Pada 2023 kita berjaya kurangkan calon yang tidak hadir dan hampir setiap negeri menunjukkan penurunan.

“Ini merupakan hasil usaha berterusan KPM dalam melaksanakan intervensi kokurikulum iaitu apabila KPM mendapati pelajar yang ada cenderung untuk berhenti sekolah atau tidak hadir (peperiksaan),  maka intervensi secara berterusan akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata usaha itu termasuk menghantar guru serta pegawai pergi ke rumah pelajar terbabit bagi memberi nasihat kepada mereka.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan