Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Lenggong, Perak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini unik bukan sahaja kerana kraf pembuatan batik menggunakan tanah liat tetapi pelatihnya terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) kategori lemah pembelajaran.
Secara tradisional, pembuatan batik sinonim menggunakan lilin untuk membuat lakaran motif batik, namun kini penggunaan tanah liat atau clay semakin mendapat perhatian serta permintaan apabila didapati bahan itu juga mampu menjadi bahan penghalang warna dalam penghasilan reka corak batik.
Mula beroperasi pada tahun 2019, PPDK Lenggong terletak sekitar tiga jam perjalanan dari Kuala Lumpur (menaiki van) dan ketika penulis tiba di tempat berkenaan, terdapat tiga daripada enam orang pelatih sedang bertugas dibimbing seorang tenaga pengajar.
Melangkah masuk ke perkarangan pusat berkenaan, Nurul Jannah Jamaluddin, 28, Sopiyah Pathil, 32 dan Nur Husna Najwa Merzuki, 25, kelihatan begitu tekun menekan blok bagi menyiapkan rekaan batik pada kain yang dibentang.
Penulis dan seorang lagi wakil media tempatan berkesempatan melihat aktiviti program pembuatan batik yang dijalankan dengan kerjasama Kraftangan Malaysia di bawah Program Media Turun Padang di Negeri Perak. Program anjuran Kraftangan Malaysia selama dua hari (2 hingga 3 Mei 2024) bertujuan meninjau perkembangan komuniti kraf di Perak khususnya Daerah Lenggong dan Kuala Kangsar.
TEKNIK SESUAI
Menurut Penyelia PPDK Lenggong, Asmaeyah Sihabuddin, pemilihan untuk mengajar batik menerusi tanah liat kepada pelatih istimewa dibuat kerana batik clay adalah teknik yang sesuai berbanding penggunaan lilin yang lebih berbahaya kepada mereka.
"Jika batik lilin, ini bahaya kerana mereka bermain dengan air dan lilin yang panas. Untuk batik clay anak-anak istimewa ini banyak bermain dengan tanah liat selain ia lebih selamat, mudah serta boleh dibuat di tempat sejuk dan tidak perlu berjemur.
pic-2
"Selain itu kaedah menggunakan tanah liat juga dapat melatih kognitif otak mereka dalam memahirkan diri menyusun corak, mewarna dan menghias kain," katanya yang mendapat latihan serta bimbingan daripada Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) bidang kraf batik yang kemudiannya diaplikasikan kepada pelatih OKU di PPDK Lenggong pada tahun 2022.
Berhubung cabaran, Asmaeyah berkata, sudah tentu dalam mendidik anak-anak istimewa memiliki kekangan tersendiri, antaranya menuntut kesabaran yang tinggi.
"Bukan mudah sebab kita perlu ajar perkara yang sama dan mengulanginya setiap hari. Jika pelajar normal mungkin sekali sahaja ajar sudah mampu ingat tetapi tapi mereka ini (OKU) ambil masa sedikit, hendak ajar sesuatu itu memang memakan masa," jelasnya.
Beliau menambah, penghasilan batik clay memberi banyak perubahan positif kepada pelatih OKU terutama dalam memupuk hubungan sosial serta mereka mulai bijak berdikari.
"Melalui program yang diberikan Kraftangan ini nampak sinar perubahan kepada mereka di mana anak-anak OKU ini sudah pandai bergaul dan berkomunikasi dengan pelanggan ketika menyertai majlis atau pameran, antaranya Hari Kraf Kebangsaan (HKK).
“Kalau tidak mereka hanya bersosial sesama mereka sahaja.Kini rutin harian juga lebih teratur dan pandai membahagi masa," katanya.
PROSES BUATAN
Berkongsi cara penghasilan batik clay, Asmaeyah berkata, bancuhan dibuat terlebih dahulu menggunakan tanah liat, bahan pengikat, bahan penstabil dan air dengan setiap bancuhan tidak boleh terlalu pekat dan tidak terlalu cair.
Selepas proses bancuhan, blok atau stensil bagi corak yang sudah sedia ada dicelup ke dalam bancuhan sebelum dicop ke atas kain. Rekaan corak diperolehi daripada Kraftangan Malaysia dan ada yang dibeli.
pic-3
"Setelah kain selesai dicorakkan, kain tersebut akan dijemur bagi membolahkan rekaan pada batik itu kering kemudian baharu dicelup di dalam warna dan dibasuh," katanya menambah ,selesai dibasuh kain berkenaan akan dijahit menjadi baju atau dibuat kain pasang bergantung kepada jenis permintaan.
Dalam sehari Asmaeyah berkata, pelatih OKU dapat menghasilkan sehelai kain bersaiz empat meter bergantung kepada emosi mereka dan pihak PPDK turut memberi sedikit imbuhan selain elaun bulanan RM300 yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Hampir dua tahun membabitkan diri dalam teknik batik clay, Asmaeyah berbangga kerana permintaan terhadap batik tersebut semakin memberansangkan sehingga ada pelancong dari luar negara dari Jerman berkunjung ke PPDK itu untuk melihat sendiri bagaimana penghasilan batik clay dilakukan.
"Masyarakat pun sudah boleh terima batik clay ini. Dalam usaha meluaskan perusahaan batik ini pihak Kraftangan Malaysia banyak membantu memberi bimbingan dan tunjuk ajar dari mula hingga akhir kerana kami bukan guru dalam bidang batik.
"Selain itu Kraftangan Malaysia turut menyediakan modal penjana, memberi modal untuk operasi pengeluaran serta membuka peluang menyertai pelbagai festival bagi memperkenalkan lagi batik clay ini," katanya yang mendapat banyak tempahan sekitar Perak, syarikat, agensi serta menerusi aplikasi dalam atas talian.
Terbaharu, PPDK Lenggong melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Komuniti Kraf yang diperkenalkan buat kali pertama pada HKK 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menitipkan impian untuk melangkah lebih jauh, Asmaeyah berharap agar anak-anak istimewa di bawah kelolaannya mampu pergi jauh serta dapat membuka bengkel sendiri seterusnya menjadikan batik clay sebagai satu tarikan di Lenggong.
MAHU KE PERSADA ANTARABANGSA
Sementara itu, bagi usahawan batik clay, Nur Nabihah Zakaria, 40, dia berhasrat membawa perusahaan batik berkenaan ke persada antarabangsa apabila melihat sambutan kepada bidang tekstil itu sejak mula mengusahakannya dua tahun lepas.
Bekas penuntut Institut Kraf Negara (2009) itu aktif dalam perniagaan batik selepas tamat pengajian dengan membuka bengkel di Kelantan sehinggalah beliau berhijrah ke Perak pada tahun 2011.
pic-4
"Di Perak, saya tetap aktif membuat batik canting, kit, kain pasang serta kemeja (menggunakan lilin) sehingga suatu hari saya menerima tawaran daripada Kraftangan Malaysia sebagai Usahawan Inkubator pada 2021.
“Di sini saya belajar membuat teknik batik clay. Berbeza dengan batik lilin, batik clay lebih senang dan boleh hasilkan lebih banyak mencecah 10 helai kain sehari berbanding lilin hanya dua atau tiga helai jadi ia dapat menjimatkan masa," katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kraftangan Perak yang terletak berhampiran pejabat Kraftangan Perak Kuala Kangsar.
Pemilik Galeri Batik Nabihah itu berkata, rekaan pada corak batik direka sendiri dan kebanyakannya bermotifkan abstrak serta flora.
"Dalam membuat rekaan kita perlu kreatif. Saya memang sentiasa fikir dan buat sendiri corak batik agar tidak sama dengan syarikat lain. Kadang-kadang ada pelanggan yang tanya dari mana dapat corak ini tidak sama dengan tempat lain," katanya lebih selesa dengan kreativiti sendiri.
Nur Nabihah bersyukur melihat sambutan pelanggan terhadap batik clay dan ia dibuktikan setiap kali memasuki pameran hampir 200 helai kain pasang terjual selain baju serta tudung.
Beliau berkata, sehelai tudung dijual RM69 manakala untuk kain pasang saiz dua setengah meter berharga RM160 (kain kapas) dan bagi kain satin sutera antara RM700 hingga RM800.
Di masa hadapan, wanita itu memasang impian untuk memasarkan batik clay ke peringkat antarabangsa .
"Saya lihat batik ini mampu menembusi pasaran asing kerana ada pelanggan yang beli dengan saya dan bawa batik ini ke India serta Australia. Begitu juga abang saya membawa koleksi saya ke Turki dan orang di sana sangat menyukainya," katanya.
INOVASI BATIK CLAY
Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak, Mohamad Rizan Mohamad Nordin berkata, pelaksanaan kajian sebatian penghalang warna menggunakan bahan tanah liat pada tahun 2020 dibarisi enam ahli termasuk beliau serta Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk 'Ainu Sham Ramli.
Menurut beliau, tanah liat dipilih sebagai subjek kajian inovasi berkenaan berikutan bahan tersebut merupakan sumber utama bagi pengeluaran produk tembikar dan seramik di negeri Perak.
"Sejarah Batik Clay ini adalah rentetan dari tahun 2020 apabila Kraftangan Malaysia Cawangan Perak diminta untuk menjalankan kajian pembangunan sebatian penghalang warna tekstil berasaskan tanah liat, selaras dengan peranan dan fungsinya sebagai pusat inovasi kraf seramik, maka bertitik tolak dari situlah penyelidikan secara sepenuhnya dijalankan.
"Menerusi kajian ini, pasukan kami menemui potensi tanah liat untuk dijadikan bahan penghalang warna tekstil, seterusnya mencetuskan inovasi Batik Clay ini," katanya menambah, Kraftangan Malaysia turut memfailkan pendaftaran paten bagi inovasi tersebut melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan menerima kelulusan pendaftaran pada 13 Februari 2024.
Lebih membanggakan Mohamad Rizan berkata, usaha kajian mereka berbaloi apabila inovasi sebatian penghalang warna tersebut memenangi pingat perak (bagi kategori Anugerah Karya Lestari) pada majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2024 yang berlangsung 26 April lalu.
"Dengan pengiktirafan di bawah kategori Anugerah Karya Lestari – inovasi sebatian penghalang warna ini (Batik Clay) - kita menjangkakan pencapaian ini akan menjadi batu loncatan untuk Batik Clay dikomersialkan dengan lebih meluas," katanya.
pic-5
Di samping itu, Mohamad Rizan berkata, Kraftangan Malaysia aktif memperkenalkan inovasi berkenaan kepada komuniti PPKK (Projek Pembangunan Komuniti Kraf) dan usahawan kraf di seluruh Malaysia berhubung potensi penghasilan produk batik menggunakan tanah liat.
"Contohnya di Perak, kita ada PPKK Lenggong, Manong, Bagan Serai, Tapah dan Muallim yang menggunakan inovasi ini untuk menghasilkan produk batik tanah liat dan menggunakan rekaan dalaman oleh pereka Kraftangan Malaysia serta kita mencuba pelbagai jenis material berasaskan kapas dan sutera, malah menjurus kepada keseluruhan jenis kain yang digunakan dalam industri tekstil," katanya.
Beliau berkata, program pembangunan yang dijalankan di peringkat komuniti itu memberi penumpuan kepada kumpulan belia, asnaf, ibu tunggal dan OKU dengan harapan untuk membantu golongan berkenaan dari aspek penjanaan ekonomi termasuk penglibatan keseluruhan rantaian pembekal bahan mentah dan penyedia perkhidmatan seperti tukang jahit," katanya.
Ditanya tentang harga, beliau berkata kos pengeluaran Batik Clay adalah murah berbanding penggunaan bahan lilin (wax), namun harga produk akhir ditentukan oleh usahawan yang mengambil kira pelbagai aspek lain seperti jenis kain, penggunaan warna, corak dan reka bentuk motif.
“Setakat yang saya tengok, produk Batik Clay ini lebih murah berbanding batik lilin,” katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial