AM

PERAHU SOLAR SERIKAN TEBINGAN KUCHING

29/05/2024 04:34 PM

Oleh Hasnah Jusid

KUCHING, 29 Mei (Bernama) -- Suatu ketika dahulu, lampu kerosin atau lampu gas yang menggunakan minyak tanah sebagai bahan bakar merupakan “teman akrab” kepada pengusaha perahu tambang di sekitar Tebingan Kuching di sini terutamanya ketika membawa penumpang pada waktu malam.

Berbeza sekarang apabila rata-rata teksi air ikonik Sarawak yang wujud sejak berabad lamanya ini, kini dilengkapi dengan panel solar di bumbung, sekali gus membantu menjana kuasa bagi menghidupkan pelbagai jenis lampu hiasan yang dipasang pada perahu.

Evolusi gabungan tradisional dan moden itu menyaksikan kebanyakan pengusaha memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna-warni pada bumbung perahu dan ada yang memasang lampu di dalam perahu untuk keselesaan penumpang dengan menggunakan tenaga yang dijana menerusi panel solar sebesar 0.3 hingga 1.2 meter berkenaan. 

Usaha itu sekali gus menambah warna-warni pada pemandangan di sepanjang Tebingan Kuching dan Sungai Sarawak, yang berlatarbelakangkan Bangunan Dewan Undangan Negeri dan Jambatan Darul Hana.

Bagi Awie Nawi, 56, yang mengusahakan perahu tambang sejak 20 tahun lepas, pemasangan lampu solar berkenaan amat memudahkannya kerana tidak perlu lagi membeli minyak tanah atau mengecas bateri kering seperti sebelum ini untuk menghidupkan lampu.

“Ini semua kerajaan negeri bagi, jadi tak perlu lagi susah-susah, kalau guna sistem solar ini waktu siang boleh cas sendiri, lepas itu boleh guna. Tak payah lagi cas berhari-hari macam guna bateri kering dulu,” katanya sambil menambah dia hanya mengenakan kadar tambang RM1 bagi perjalanan sehala dari Tebingan Kuching ke bahagian seberang. 

Awie berkata tenaga solar berkenaan juga memudahkannya untuk mengecas peralatan seperti telefon bimbit di dalam perahu itu. 

Saini Bujang, 65, pula berkata walaupun pada mulanya agak berat hati ketika ditawarkan untuk pemasangan panel solar berkenaan, dia menyedari banyak manfaat yang diperoleh antaranya penjimatan kos hampir 90 peratus berbanding sebelum ini.

“Minyak tanah kalau dulu memang mahal dan kadang-kadang bekalan susah mahu dapat, sekarang ini senang guna tenaga matahari secara percuma sahaja sudah boleh hidupkan lampu dan guna peralatan elektrik,” katanya. 

Menurut Saini, penggunaan lampu menerusi tenaga solar juga lebih cekap tenaga dan tidak terjejas dengan cuaca hujan, berbanding penggunaan lampu kerosin yang boleh terpadam sekiranya terkena air.

Seorang pelancong Norhayati Tahir, 33, dari Sibu, Sarawak berkata lampu berwarna-warni yang dipasang pada perahu kelihatan sangat cantik pada waktu malam, sekali gus mendorongnya untuk bersiar-siar di sepanjang Sungai Sarawak atau menyeberang ke Kampung Boyan.

Media tempatan pada Disember lepas melaporkan 22 pengusaha perahu tambang di Kuching mengambil bahagian dalam projek Facelift Perahu Tambang untuk merapikan bot mereka dan memastikan keselamatan yang lebih baik untuk penumpang mereka.

Projek yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak itu bertujuan memberi penampilan baharu kepada perahu tambang serta menarik pelancong dengan memberikan wajah baharu bertemakan motif-motif etnik kaum di Sarawak serta pemasangan lampu solar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan