AM

ARMAS EE SHIKONGO KETUAI PERSATUAN PERSAHABATAN NAMIBIA MALAYSIA YANG BARU DIBENTUK

29/05/2024 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Dr Armas EE Shikongo yang pernah mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di Malaysia dari 2006 hingga 2010, dilantik sebagai Presiden Persatuan Persahabatan Namibia Malaysia (NMFA) yang baru ditubuhkan pada Selasa (28 Mei).

"Ahli jawatankuasa telah dibentuk pada Selasa. Pada masa ini, kami mempunyai lebih daripada 60 ahli, dan jumlahnya semakin bertambah," kata Shikongo dalam ucapan penerimaannya.

Shikongo turut mengucapkan terima kasih kepada ahli persatuan atas sokongan mereka dalam penubuhan NMFA.

"Bersama-sama kita akan berkhidmat untuk kedua-dua rakyat kita," katanya.

Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dilantik sebagai penasihat utama kepada persatuan itu manakala Profesor Dr David Namwandi dinamakan sebagai penaung pengasas.

Satu majlis untuk meraikan penubuhan NMFA telah diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia pada Selasa.

Lebih 30 jemputan menghadiri mesyuarat itu yang menyaksikan penubuhan rasmi persatuan dan pelantikan jawatan utama.

Para jemputan mendengar ucaptama mengenai Malaysia dan kepentingan pertubuhan itu dalam menggembleng tenaga untuk mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan Namibia.

Para jemputan juga termasuk rakyat Malaysia yang menetap sebagai pemastautin tetap di Namibia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan