AM

KPDN PROAKTIF PERMUDAH URUSAN MOHON KAD DISKAUN KHAS MENU RAHMAH

29/05/2024 05:41 PM

NILAI, 29 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa proaktif dalam mempermudahkan urusan permohonan dan kelulusan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah sekali gus membolehkan lebih ramai peniaga atau pengusaha menawarkan menu tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata ini termasuk menambah baik prosedur operasi standard permohonan kad, memberikan kad tersebut secara automatik kepada peniaga yang sebelum ini menawarkan Menu Rahmah selain permohonan baharu kad di portal Menu Rahmah akan terus diluluskan.

“Sebelum ini kita letak syarat untuk pemeriksaan (terhadap kedai), itu yang ambil masa, proses pemeriksaan itu untuk periksa sama ada betul atau tidak dan sebagainya. Jadi lepas ini, sekiranya sesuatu premis itu tawar satu Menu Rahmah maka ia terus layak mendapatkan kad diskaun.

“Ada juga kata sudah ada kad, cuma perlu daftar semula dan ini melambatkan proses, jadi sekarang sekiranya mereka pernah tawarkan Menu Rahmah dahulu dan nama gerai atau syarikat sudah ada dalam sistem, mereka juga layak (dapat kad diskaun). Insya-Allah dengan bantuan ini, mereka boleh terus bantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah kepada peniaga gerai nasi ayam berempah Suzana Hanum Ibrahim, 40, yang telah menjual Menu Rahmah sejak 2022 di sini hari ini.

Fuziah berkata setakat ini lebih 2,800 peniaga di seluruh negara menerima kad diskaun berkenaan selepas ia dilancarkan pada 2 Nov tahun lepas dan menggalakkan lebih ramai pengusaha mendaftar kad diskaun tersebut.

Beliau menambah pihaknya juga turut memperluaskan penawaran kad diskaun khas itu bukan sahaja kepada pengusaha restoran tetapi kepada penjaja dan peniaga kenderaan makanan (food truck) sekali gus membantu mereka menambah pendapatan.

Menurut Fuziah melalui kad itu, peniaga Menu Rahmah boleh menikmati potongan harga hingga 40 peratus apabila membeli barangan termasuk ayam, bawang dan barangan asas makanan yang lain di tujuh pasar raya terpilih bagi membantu mereka mengurangkan kos penyediaan menu berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata inisiatif itu merupakan antara langkah memastikan kelangsungan Program Menu Rahmah sebagai galakan untuk meningkatkan lagi bilangan pengusaha restoran dalam menyertai program itu.

“Ramai peniaga sambut baik usaha ini, namun faktor di luar kawalan termasuk peperangan di negara luar memberi kesan kepada harga bahan mentah dalam negara, ada yang sekat eksport barangan dan menaikkan cukai, sebab itu kita menawarkan kad diskaun khas ini.

“Ini menunjukkan kita komited untuk membantu peniaga yang sungguh-sungguh mahu menawarkan Menu Rahmah sebab nak bantu rakyat, jadi kita perlu pastikan mereka dibantu sebaik mungkin. Kita juga mulakan kempen satu gerai satu Menu Rahmah, saya harap ramai yang akan sambut seruan ini,” katanya.

Jelasnya, kementerian komited dalam memperluaskan dan menjayakan lagi Program Menu Rahmah bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat menikmati pilihan makanan di luar dengan harga yang berpatutan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan