AM

DUN PULAU PINANG: PEMAJU TARIK BALIK PKM ASRAMA PEKERJA ASING DI TELUK KUMBAR

29/05/2024 05:48 PM

GEORGE TOWN, 29 Mei (Bernama) -- Satu daripada dua pemaju menarik balik Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) asrama pekerja asing di Teluk Kumbar dekat sini pada 9 Mei lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn. Bhd mengemukakan PKM asrama pekerja pada 16 Nov tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah meluluskan PKM bagi cadangan mendirikan satu blok bangunan asrama pekerja 27 tingkat yang mempunyai 512 unit di Teluk Kumbar yang dikemukakan oleh satu lagi pemaju iaitu Tetuan Chong Company Sdn. Bhd.

“Namun, kelulusan Kebenaran Merancang (Borang C1) masih belum dikeluarkan oleh MBPP kepada Tetuan Chong Company Sdn. Bhd kerana syarikat ini belum memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MBPP,” katanya ketika menggulung ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada persidangan DUN di sini hari ini.

Beliau menjelaskan semua projek asrama perlu mematuhi syarat-syarat teknikal yang ditetapkan dalam PKM dan permohonan yang dikemukakan harus melaksanakan Kajian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Impak Lalu Lintas (TIA). 

Kerajaan negeri sebelum ini mengesahkan menerima dua permohonan daripada pemaju bagi projek pembinaan asrama pekerja di kawasan Teluk Kumbar melibatkan pembinaan satu blok bangunan asrama pekerja setinggi 27 tingkat oleh Tetuan Chong Company dan penambahan ketinggian bangunan 30 tingkat oleh Tetuan Zantalite Enterprise.

Sehubungan itu, penduduk di sekitar kawasan berkenaan membantah perancangan pembinaan asrama termasuk menggunakan tindakan perundangan di mahkamah selain menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Feb lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan