AM

AHMAD ZAHID ADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS PM CHINA , LI QIANG

29/05/2024 07:07 PM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

BEIJING, 29 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang, di Vila 12, Rumah Tamu Negara Diaoyutai di sini.

Ketibaan Ahmad Zahid dengan diiringi Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad pada jam kira-kira 4 petang itu disambut Qiang.

Kunjungan berkenaan adalah sempena lawatan rasmi pertama Ahmad Zahid ke republik itu sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan ia adalah atas jemputan Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang.

Semasa ucapan alu-aluan, kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan China yang terjalin sejak 31 Mei 1974.

“Saya berada di sini untuk mewakili Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan negara kita untuk membincangkan tentang cara ke hadapan untuk mengukuhkan hubungan antara kerajaan (G2G) kedua-dua negara, perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan rakyat dengan rakyat (P2P),” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata hubungan diplomatik Malaysia dan China tidak boleh diganggu gugat atau dirosakkan oleh pengaruh luar dan memastikan hubungan antara rakyat dan pentadbiran di kedua-dua negara sentiasa terjamin demi generasi masa depan.

Sementara itu, Qiang berkata China akan terus membina dan mengukuhkan kerjasama China-Malaysia untuk manfaat rakyat kedua-dua negara serta menyumbang kepada kemakmuran masyarakat dunia.

“Mari kita jadikan 50 tahun ini (ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China) yang terbaik untuk tahun-tahun yang lebih besar akan datang melalui kepimpinan strategik oleh Presiden Xi Jinping bersama Perdana Menteri Anwar,” katanya.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi ke China selama 11 hari bermula pada 22 Mei hingga Sabtu ini dan ini merupakan lawatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Semasa lawatan beliau di ibu negara China itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dijadual mengadakan perbincangan dengan Xuexiang dan Penasihat Negara serta Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong.

Beliau juga akan menjadi tuan rumah bagi Majlis Resepsi Gala dan menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dianjurkan bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Wisma Putra sebelum ini memaklumkan lawatan rasmi Ahmad Zahid bertujuan memperkukuh hubungan dua hala selain meneroka peluang kerjasama terutamanya dalam bidang pendidikan TVET, pembangunan industri halal serta pertukaran antara rakyat.

Tahun lepas, jumlah dagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (US$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia dan pada tahun yang sama, sejumlah 64 projek perkilangan dari China telah diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM12 bilion (US$2.6 bilion).

China menduduki tempat kelima sebagai pelabur terbesar dan projek-projek ini dijangka mewujudkan 9,305 pekerjaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan