AM

TIADA RUNDINGAN TERUS DALAM PELAKSANAAN PROJEK DRT SELANGOR - EXCO

29/05/2024 08:19 PM

SHAH ALAM, 29 Mei (Bernama) -- Penglibatan syarikat Asia Mobility Sdn Bhd dalam proses melaksanakan bukti konsep (POC) projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) dibuat secara Request-for-Proposal (RfP) atau permintaan untuk cadangan dan bukan menerusi rundingan terus seperti yang didakwa.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata dakwaan bahawa Asia Mobility merupakan satu-satunya syarikat yang dipilih juga tidak benar kerana syarikat Badan Bas Coach Sdn Bhd turut diberi peluang melaksanakan POC, selain sedang melihat kepada permohonan satu lagi syarikat untuk terlibat sama dalam proses itu bagi fasa seterusnya. 

"Pada awal bulan ini kerajaan negeri telah menerima cadangan daripada syarikat Kumpool Sdn Bhd yang berhasrat terlibat sama dalam proses POC, yang juga telah menerima kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyertai proses tersebut.

"Kerajaan negeri yakin bahawa proses penilaian RfP dan keputusan melibatkan syarikat-syarikat ini dilaksanakan dengan hemat dan asas yang kukuh serta menepati syarat serta garis panduan undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara berkata peruntukan yang disalurkan kepada kedua-dua syarikat (Asia Mobility dan Badan Bas Coach) untuk memberikan subsidi kepada setiap pengguna yang menaiki bas berkenaan adalah sama rata iaitu RM2.1 juta bagi sepanjang tempoh pelaksanaan POC.

Menurutnya bayaran itu juga tidak disalurkan secara sekali gus sebaliknya dibuat melalui tiga fasa untuk memastikan tiada penyalahgunaan peruntukan negeri.

Ng turut menegaskan bahawa pentadbirannya bersedia untuk membentangkan keseluruhan proses penilaian tersebut kepada pihak berkuasa sebagai komitmen ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan negeri terutamanya dalam perkara yang melibatkan perbelanjaan peruntukan wang negeri.

Terdahulu, Asia Mobility mempertahankan pembabitannya dalam perkhidmatan DRT dengan menyatakan bahawa hanya dua syarikat di negara ini layak untuk menyediakan perkhidmatan yang diberikan mereka.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan ia sudah melakukan siasatan interim berhubung isu pemberian kontrak berkenaan, namun tidak menemukan sebarang kesalahan dan tiada kes dalam isu tersebut.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan