AM

JABATAN PERTANIAN PEMENANG UTAMA WSIS PRIZES 2024

30/05/2024 11:59 AM

PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) -- Inovasi Jabatan Pertanian (DOA) iaitu sistem GeoTanaman dinobatkan pemenang utama World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2024 di Geneva, Switzerland Selasa lepas.

DOA dalam kenyataan hari ini berkata sistem berkenaan meraih kemenangan utama di bawah Kategori C13 Aplikasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) – Faedah Dalam Keseluruhan Kehidupan: E-Pertanian dengan undian melebihi 2.2 juta undi.

WSIS Prizes 2024 adalah platform bagi menilai projek dan aktiviti yang memberi impak besar kepada pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam memacu pembangunan yang lestari.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi menerima anugerah itu, yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Doreen Bogdan-Martin.

Nor Sam dalam kenyataan sama berkata kemenangan itu adalah satu pengiktirafan besar dunia kepada Malaysia. 

“Ia pengiktirafan dalam merealisasikan aspirasi untuk memastikan kecukupan bekalan makanan dan penyediaan perkhidmatan pertanian secara elektronik yang berkualiti untuk pembangunan sektor agromakanan negara,” katanya.

Beliau berkata Sistem GeoTanaman adalah platform digital yang komprehensif bagi para petani untuk mengurus dan menganalisis serta mengandungi maklumat geospatial berkaitan tanaman makanan

“Ia sekali gus mampu membina landskap pertanian yang berdaya tahan dan mampan,” katanya.

Sistem GeoTanaman yang dilancarkan pada 2022 menyumbang dengan ketara kepada kelestarian pertanian Malaysia, terutamanya dalam pengeluaran tanaman makanan sekali gus membantu petani merancang pengeluaran tanaman mereka mengikut permintaan serta menangani isu lebihan bekalan.

Sistem GeoTanaman memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran tentang digitalisasi di kalangan petani dan ia telah dimanfaatkan oleh 43,686 orang petani dan 880 pemborong dalam negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan