AM

FAKTOR UTAMA NAHAS BERPUNCA DARIPADA HELIKOPTER FENNEC TERSASAR, MASUK LALUAN HELIKOPTER AW139

30/05/2024 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Lembaga Siasatan mendapati faktor utama yang menyebabkan nahas membabitkan dua helikopter sehingga mengorbankan 10 pegawai dan anggota tentera pada 23 April lepas adalah disebabkan helikopter Fennec terbabit tidak berada pada ketinggian serta haluan ditetapkan, dan memasuki laluan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139).

Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata faktor sekunder nahas itu pula adalah disebabkan channelized attention oleh kru helikopter HOM-AW139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan sehingga menghadkan reaksi untuk mengelak pelanggaran daripada berlaku.

Beliau berkata laporan Lembaga Siasatan nahas dua pesawat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut itu juga tidak menyatakan sekiranya nahas berpunca daripada faktor kesilapan manusia, berikutan pesawat Fennec berkenaan tidak dilengkapi dengan kotak hitam.

"Tiada data yang boleh merumuskan berlakunya human error kerana pesawat Fennec tiada kotak hitam," katanya dalam sidang media Laporan Akhir Insiden Helikopter Terhempas di Pengkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Dalam tragedi pada 23 April lepas itu tujuh kru HOM-AW139 dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki bergesel dan terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Abdul Rahman berkata Lembaga Siasatan menggunakan laporan analisis kotak hitam helikopter AW139 untuk membantu siasatan manakala bagi pesawat Fennec, pembuktian profil penerbangan dilakukan melalui simulasi penerbangan menggunakan helikopter sebenar.

Beliau berkata Lembaga Siasatan turut mendapatkan kerjasama, kepakaran dan pandangan dari pihak pengeluar helikopter berkenaan iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter bagi membantu siasatan. 

"Airbus Helicopter mengesahkan bahawa tiada peralatan yang mempunyai Non Volatile Memory (NVM) di pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan," katanya.

Abdul Rahman berkata laporan autopsi turut mengesahkan bahawa tiada isu hypoglycemia atau unsur-unsur kelesuan terhadap semua kru udara, serta tiada penggunaan bahan terlarang.

"Tiada unsur mental illness (kesihatan mental) direkodkan atau dikenal pasti, semua kru udara terlibat disahkan secara perubatan sebagai fit to fly dan punca kematian 10 anggota dalam nahas berkenaan adalah berpunca daripada multiple injuries due to aviation crash," katanya.

Beliau berkata sampel minyak, pelincir dan bahan api daripada kedua-dua helikopter juga telah diperiksa dan disahkan normal oleh pihak Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE)," katanya dan menambah bangkai dua helikopter berkenaan masih lagi disimpan di Pengkalan TLDM Lumut bagi tujuan semakan lanjut.

Abdul Rahman berkata pihaknya juga sedang menilai untuk menggantikan dua aset berkenaan yang memainkan peranan penting dalam pengoperasian TLDM, sama ada melalui perolehan aset baharu atau melalui kaedah sewa.

Mengulas mengenai kebajikan waris mangsa, beliau berkata TLDM telah menyerahkan semua bayaran pampasan dan insurans berkelompok kepada waris yang berhak.

Bayaran pencen juga telah mula dibayar secara bulanan kepada semua waris mangsa yang terlibat dalam nahas berkenaan.

"TLDM juga masih lagi menerima sumbangan daripada orang ramai melalui Tabung Tragedi Lumut 24 dan agihan kepada waris akan dibuat selepas tabung berkenaan ditutup pada Okt ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan