AM

RAPID RAIL CATAT LEBIH SEJUTA PENUMPANG, TERTINGGI SEJAK PENUBUHANNYA

31/05/2024 12:00 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berjaya merekodkan lebih sejuta penumpang dalam sehari iaitu pada 29 Mei lepas, tertinggi pernah dicapai sejak penubuhannya.

Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan laluan Kelana Jaya mencatatkan bilangan penumpang sebanyak 287,102, Laluan Ampang/Sri Petaling (224,184), Laluan Monorel (61,236), Laluan Kajang (274,302) dan Laluan Putrajaya (157,767).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,004,591 iaitu peningkatan lebih 35 peratus berbanding tarikh sama pada tahun 2023 (739,818).

“Lonjakan ini dipacu dengan beberapa inisiatif yang digerakkan seperti proses penambahan kapasiti tren di Laluan Kelana Jaya dan Laluan Kajang, pembukaan semula perkhidmatan tren di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya bagi Laluan Ampang/Sri Petaling pada 17 Feb lepas akibat kerosakan struktur jejambat serta pembukaan beberapa lokasi tarikan baharu di sepanjang jajaran rel,” menurut kenyataan itu.

Menurut Rapid Rail selaku pengendali perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), Monorel dan transit aliran massa (MRT) di Lembah Klang, beberapa acara berskala besar yang diadakan di sekitar stesen rel dan musim cuti sekolah turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang.

“Rapid Rail amat berbangga kerana sasaran membawa sejuta penumpang sehari berjaya dicapai enam bulan lebih awal daripada jangkaan yang ditetapkan. Ini juga bukti sokongan padu khususnya daripada warga Lembah Klang yang setia menggunakan perkhidmatan rel pada setiap hari,” menurut Rapid Rail.

Kenyataan itu memaklumkan usaha penambahbaikan yang dilakukan Rapid Rail selama ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan perkhidmatan pengangkutan awam berada di tahap lebih baik.

“Kejayaan ini juga satu perkembangan positif selaras dengan visi dan misi syarikat induk Rapid Rail iaitu Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam memajukan mobiliti serta memperkaya pengalaman pengguna pengangkutan awam,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penumpang di atas sokongan berterusan terhadap perkhidmatan yang disediakan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan