AM

DBP DIGALAK TERJEMAH KARYA CHINA DALAM BIDANG AI

31/05/2024 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia perlu meneruskan usaha penterjemahan dan penerbitan karya-karya fiksyen dan bukan fiksyen dari China ke dalam bahasa Melayu, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI). 

Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Prof Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata ia seiring dengan perkembangan AI yang menyaksikan penggunaan teknologi seperti ChatGPT 4.0, Gemini 1.5 Pro, kenderaan elektrik dan banyak lagi.

“Selain itu, sudah sampailah masa untuk kita memperkenalkan sastera, seni, budaya dan bahasa Melayu kita kepada para pembaca di Tanah Besar China. 

"Janganlah biar pembaca China berhenti di cerita Salina oleh Datuk Seri Dr. A. Samad Said sahaja, padahal kita ada novel daripada Anwar Ridhwan, kita ada puisi daripada Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, Zurinah Hassan, Siti Zainon Ismail dan Rahman Saari," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Katalog 50 Judul Buku Mutiara Sempena 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China di sini hari ini. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia Datuk Goh Hin San berkata buku berkenaan diusahakan persatuannya dengan kerjasama DBP. 

Beliau berkata 50 judul berkenaan terdiri daripada 25  buku yang diterbitkan di Malaysia dan 25 lagi di China, mencakupi karya klasik dan karya kontemporari. 

Buku-buku terpilih ini menjadi bukti kukuh bahawa sastera, seni, budaya dan bahasa adalah sama pentingnya dengan bidang ekonomi dan perdagangan serta harus diberikan tumpuan yang lebih dan khusus oleh kerajaan mahupun pihak swasta, tambah beliau.

Antara judul buku bersekali sinopsis terkandung dalam katalog berkenaan ialah Koleksi Cerita Klasik Cina, Antologi Cerpen Malaysia-China, Kenali Xi'an dan Puisi-Puisi Pilihan Dinasti Song. 

Terdahulu, Awang Sariyan turut menyampaikan set buku “50 Buku Kanak-Kanak dan Remaja China-Malaysia” yang diserahkan kepada 12 sekolah terpilih. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan