AM

MALAYSIA NEGARA ASEAN PERTAMA BANGUNKAN AKAUN SATELIT SUKAN - HANNAH

31/05/2024 03:52 PM

PUTRAJAYA, 31 Mei (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Sekretariat Industri Sukan, dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini melancarkan Akaun Satelit Sukan yang bertujuan menyediakan sistem perakaunan terperinci mengenai industri sukan negara.

Majlis pelancaran Akuan Satelit Sukan itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Menara KBS di sini.

Akaun itu yang akan menggunakan 73 Kod Industri Standard Malaysia (MSIC) bagi memberi gambaran ekonomi lebih terperinci dan menyeluruh di luar penunjuk makroekonomi, antara lain bertujuan menyediakan statistik dan set data melibatkan industri sukan yang komprehensif, menyeluruh dan holistik.

Selain itu, ia juga bagi menjejaki sumbangan dan pulangan diberikan industri sukan terutamanya kepada ekonomi negara dan menjadi rujukan relevan buat pembuat dasar serta membekalkan maklumat dan data yang sahih berkaitan industri sukan Malaysia khususnya kepada pihak berkepentingan berkaitan.

“Tanpa data ini sukar kita mendapatkan bajet yang setimpal untuk sukan sebab sukan dilihat sebagai rekreasi saja sedangkan kita adalah satu industri. Dengan adanya data terperinci termasuk data untuk latihan sukan dan jurulatih kita akan lihat tenaga kerja dalam industri sukan akan meningkat.

“Kita percaya ini satu inisiatif yang bagus dan dalam negara Asia Tenggara kita adalah yang terawal menceburinya, jadi kita sangat teruja untuk melihat potensi yang akan wujud daripada sektor industri sukan ini,” kata Hannah ketika ditemui pemberita di sini.

Pada masa sama, beliau meminta supaya sektor industri sukan mendapatkan Laporan Awalan Akaun Satelit Sukan 2022, tahun ini dan tahun mendatang yang disediakan secara percuma di portal DOSM dan KBS serta Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) untuk melihat nilai sebenar industri sukan dan sumbangannya kepada pembangunan ekonomi negara.

Hannah turut mengakui dengan adanya akaun itu mampu memberi lebih keyakinan kepada pihak berkepentingan dalam industri sukan.

“Tapi yang paling utama adalah untuk saya dapatkan bajet lebih besar bagi KBS, saya tak nak KBS dilihat sebagai kementerian yang hanya melakukan aktiviti sukan dan untuk belia saja.

“Saya tak nak kita dilihat sebagai kementerian yang hanya membelanjakan duit tapi tak dapat jana duit untuk kerajaan, saya percaya data ini akan menjadi pengubah keadaan bagi sektor industri sukan,” katanya.

Berdasarkan Laporan Awalan Akaun Satelit Sukan 2022, nilai ditambah kasar industri sukan telah bertumbuh sebanyak 12.1 peratus pada 2022 berbanding 1.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan jumlah RM19.6 bilion, sekali gus nilai itu bersamaan dengan 1.34 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun berkenaan.

Dalam pada itu, Akaun Satelit Sukan memberi penekanan kepada enam output iaitu KDNK; Permintaan dan Penawaran Produk dan Perkhidmatan Sukan; Eksport Produk dan Perkhidmatan Sukan; Import Produk dan Perkhidmatan Sukan; Komponen Pendapatan Industri Sukan dan Guna Tenaga Dalam Industri Sukan.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Setiausaha KBS Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan