AM

JEMAAH PERLU BERSEDIA MENTAL, FIZIKAL, KEROHANIAN UNTUK KERJAKAN IBADAH HAJI - TUN JUHAR

01/06/2024 12:30 AM

KOTA KINABALU, 31 Mei (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin hari ini menasihati jemaah haji terutama dari Sabah supaya bersedia dalam semua aspek terutamanya kesihatan mental, fizikal serta kerohanian sepanjang mengerjakan ibadah.

Beliau berkata ini kerana keadaan di Tanah Suci pastinya akan sesak dan mencabar, justeru setiap jemaah diharap dapat bersabar, bertoleransi, berkasih-sayang sesama saudara Islam tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya.

Katanya jemputan menunaikan haji adalah sesuatu yang sangat istimewa dan tidak patut disia-siakan dengan perkara yang tidak berfaedah atau yang boleh menjejaskan ibadah masing-masing ketika berada di Tanah Suci.

“Saya berharap jemaah haji dapat bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kesemua rukun dan wajib haji seperti yang telah dipelajari semasa kursus-kursus anjuran Tabung Haji.

"Saya mendoakan semua jemaah haji negeri Sabah diberikan kemudahan oleh Allah Subhanahu Wata'ala agar dapat mengerjakan ibadat haji dengan sempurna dan kembali dengan haji yang mabrur," katanya ketika berucap meraikan keberangkatan kumpulan pertama 134 jemaah haji negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, malam ini.

Kumpulan itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 940 jemaah dari Sabah yang akan menunaikan haji bagi Musim Haji 1445H/2024M. 

 Juhar berkata umat Islam di negeri Sabah harus bersyukur kerana Tabung Haji sentiasa mengambil berat akan kebajikan jemaah haji dengan penganjuran pelbagai kursus serta penyediaan perkhidmatan dan kemudahan infrastruktur yang cukup baik bermula di tanah air sehinggalah ke Tanah Suci.

“Para bakal haji tidak perlu bimbang dan hanya perlu mempunyai niat yang ikhlas dan had yang lapang untuk melaksanakan ibadat haji dengan sempurna, selain mematuhi semua nasihat dan arahan Tabung Haji,” katanya.

Beliau berkata jemaah juga perlu menggunakan peluang yang diberikan sebagai tetamu Allah atau duyufurrahman dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat sebagai tanda kesyukuran atas segala nikmat yang telah dikurniakan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan