AM

LAWATAN RASMI AHMAD ZAHID PERKUKUH HUBUNGAN PELBAGAI SEKTOR MALAYSIA-CHINA

01/06/2024 12:47 PM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

BEIJING, 1 Jun (Bernama) -- Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke China selama 11 hari yang berakhir hari ini, dilihat berjaya memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-China yang terjalin sejak 50 tahun lepas, selain memperluas kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang dan sektor.

Ahmad Zahid yang mengadakan lawatan ke republik itu atas jemputan rakan sejawatannya Ding Xuexiang, telah berhasil mengeratkan jalinan kerjasama serta memperluas bidang pendidikan tinggi terutama TVET serta sektor pelancongan negara, bagi manfaat bersama.

Perkara itu direalisasikan menerusi perbincangan Ahmad Zahid bersama beberapa pemimpin tertinggi China termasuk Perdana Menteri Li Qiang, Xuexiang dan Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong.

Dalam pertemuan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah dengan pemimpin-pemimpin republik itu, menyaksikan kesediaan China untuk terus menjadi rakan strategik dalam sektor TVET termasuk kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh diperbaharui serta terbuka melaksanakan peralihan pengetahuan dan tekonologi mengenai semua aspek itu.

Perkara berkenaan dapat dilihat apabila China melalui 220 syarikat berkaitan TVET, menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan atau kursus berkaitan TVET di republik berkenaan, menerusi jalinan kerjasama antara kerajaan kepada kerajaan, perniagaan kepada perniagaan dan rakyat kepada rakyat.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata tawaran latihan bagi jangka pendek, sederhana serta panjang dalam bidang itu akan menjadi pengubah keadaan bagi melonjakkan industri TVET selain meningkatkan bilangan pekerja mahir di Malaysia pada masa depan.

Beliau telah turut menjemput pihak GEELY Auto Group untuk berkolaborasi dalam bidang TVET, yang pastinya memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak.

“Melalui penubuhan Malaysia-China Institute (MCI), saya juga mengundang pihak Geely untuk menerokai potensi peluang yang ada,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini, sambil berharap agar kerjasama direncanakan itu dapat direalisasikan dengan bantuan dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai pemudahcara dalam aspek pelaburan negara.

Lawatan rasmi beliau juga membawa khabar gembira kepada rakyat Malaysia, apabila China telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengecualian visa kepada pelancong Malaysia dari 15 ke 30 hari dan sekali gus dilihat dapat melonjakkan sektor pelancongan kedua-dua negara.

Beliau yang mengumumkan perkara itu semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China, di sini semalam, berkata persetujuan itu dicapai kedua-dua pihak ketika kunjungan hormatnya ke atas Li Qiang pada Rabu lepas.

Ahmad Zahid berkata pelanjutan tempoh pengecualian visa kepada pelancong Malaysia itu, akan dilaksanakan selepas perjanjian antara kementerian berkaitan bagi kedua-dua negara ditandatangani dan ia dijangka dilakukan pada awal bulan ini.

“Saya fikir ini satu pengiktirafan kepada apa yang telah kita (Malaysia) tawarkan (tempoh pengecualian visa selama 30 hari) kepada pelancong China yang datang ke Malaysia,” katanya yang memberi reaksi berkaitan perkara tersebut.

Selain itu, Malaysia dan Hong Kong juga telah mencapai beberapa persetujuan dalam memperluas pelbagai bidang termasuk TVET, sektor ekonomi, pelancongan Islamik serta industri halal bagi manfaat kedua-dua pihak, menerusi pertemuannya bersama Ketua Eksekutif dari Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka Chiu, di Hong Kong sebelum ini.

Ahmad Zahid berkata Hong Kong yang sangat berjaya mengendalikan kursus berkaitan TVET, bersedia untuk memberikan latihan kepada tenaga pengajar Malaysia di wilayah pentadbiran khas itu, serta melaksanakan program pertukaran pelajar antara kedua-dua pihak.

Bagi aspek ekonomi pula, pertemuan antara Ahmad Zahid dan Lee turut membincangkan penubuhan sebuah pejabat perdagangan dan ekonomi oleh kerajaan Hong Kong di Kuala Lumpur, sebagai usaha meningkatkan penglibatan pengurus dana dari Wilayah Pentadbiran Khas itu memasuki pasaran saham Malaysia.

Beliau turut menyatakan kesediaan Malaysia membantu Hong Kong mempergiat pelancongan Islamik serta industri halal menerusi Halal Development Corporation Bhd dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, untuk manfaat bersama.

Lawatan rasmi Ahmad Zahid ke China bermula dari Hong Kong diikuti Shenzhen, Shanghai dan berakhir di Beijing merupakan lawatan rasmi beliau yang pertama ke republik itu sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 dan ia lawatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan