AM

KANSER PARU-PARU: SARINGAN BERSASAR DIGALAKKAN, KESAN PENYAKIT LEBIH AWAL

01/06/2024 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Banyak kes kanser paru-paru direkodkan dalam kalangan bukan perokok berpunca daripada pendedahan kepada asap rokok terpakai (SHS), sedutan asap rokok terpakai ketiga (THS) atau pencemaran udara.

Pakar Perunding Pembedahan Kardiotoraks Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Anand Sachithanandan berkata justeru, saringan kanser paru-paru bersasar digalakkan untuk mengesan penyakit lebih awal selain dapat dirawat dengan lebih berkesan.

Beliau berkata kanser paru-paru kini bukan lagi penyakit bagi perokok lelaki sahaja kerana kebanyakan kes baharu kini turut melibatkan bukan perokok dalam kalangan wanita.

“Selain daripada kanser paru-paru, SHS dan THS juga menyumbang kepada masalah pernafasan yang lain termasuk serangan asma, bronkitis dan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) kerana asap rokok ini berupaya menjejaskan keanjalan tisu paru-paru dan menyebabkan radang pada laluan pernafasan.

“Dalam pada itu, merokok juga terbukti menjadi faktor risiko bagi penyakit kardiovaskular seperti penyakit arteri koronari (CAD) dan angin ahmar, melemahkan sistem imun tubuh dan menyebabkan penuaan pramatang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Anand yang juga Pengerusi Persatuan Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM) berkata kanak-kanak dan remaja merupakan golongan yang lebih terdedah kepada bahaya SHS dan THS memandangkan sistem imunisasi tubuh yang masih belum kukuh sepenuhnya.

“Pendedahan kepada SHS dan THS di rumah dan tempat awam seperti kedai makan atau tempat kerja, terutama sekali dalam kenderaan berupaya meningkatkan kebarangkalian menghidap penyakit pernafasan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata menurut Tinjauan Tembakau Dewasa Global (GATS) sebanyak 77.6 peratus rakyat Malaysia yang menjalani kaji selidik melaporkan mereka terdedah kepada asap rokok terpakai di tempat makan.

Sementara itu, Dr Anand berkata ujian saringan yang terbaik adalah melalui imbasan tomografi terkira dos rendah (LDCT) yang boleh didapati secara meluas di seluruh negara. Buat masa sekarang sasaran individu menjalani ujian saringan adalah mereka yang tergolong dalam kalangan perokok dan bekas perokok pada peringkat umur tertentu.

LDCT merupakan imbasan imej beresolusi tinggi tanpa kontra yang hanya memerlukan pernafasan tunggal dan tanpa suntikan jarum, ujian darah atau berpuasa.

Dr Anand berkata individu yang mempunyai latar belakang penyakit kanser paru-paru dalam sejarah keluarga juga perlu mempertimbangkan untuk membuat pemeriksaan walaupun tidak merokok.

“Setakat ini, kami meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) sinaran-X pada imbasan dada sebagai prasaringan LDCT memandangkan kaedah ini lebih jimat dan mudah didapati.

“Hal ini masih dalam penyelidikan klinikal, begitu juga dengan usaha membangunkan potensi ujian darah sebagai penanda bio untuk meningkatkan hasil pengesanan kanser paru-paru sewaktu ujian saringan,” katanya menambah pemeriksaan kanser paru-paru dalam kalangan bukan perokok masih menjadi cabaran yang perlu diatasi.

Beliau berkata orang awam juga boleh memainkan peranan dengan menjadi perokok yang bertimbang rasa dan hanya merokok di Kawasan Merokok Ditetapkan (DSA).

Menurutnya pelaksanaan DSA yang dicadangkan Kementerian Kesihatan (KKM) juga adalah pendekatan pragmatik dan boleh dicapai sekiranya dirancang dan dilaksanakan dengan teliti dan dikuatkuasakan dengan ketat.

-- BERNAMA

 

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan