AM

TH TAMBAH DUA LAGI MESIN ATM DI BANGUNAN PENGINAPAN JEMAAH HAJI MALAYSIA

06/06/2024 08:34 AM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 6 Jun (Benama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) menambah dua lagi unit mesin juruwang automatik (ATM) di bangunan penginapan jemaah haji Malaysia berbanding hanya sebuah yang disediakan sebelum ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kemudahan berkenaan disediakan dengan kerjasama pengurusan Bank Alinma bagi memudahkan urusan pengeluaran wang jemaah haji Malaysia tanpa perlu berjalan jauh.

“Sebenarnya mesin ATM ini amat penting sejak dari 2022 apabila kerajaan Arab Saudi menamatkan perkhidmatan kaunter pengeluaran wang di bangunan penginapan untuk perbelanjaan jemaah haji di Tanah Suci.

“Berikutan itu kita telah bekerjasama dengan Bank Islam untuk menyediakan kad debit bagi digunakan di Tanah Suci tanpa dikenakan sebarang caj perkhidmatan walaupun berapa kali penggunaan.

“Pada tahun ini, alhamdulilah dengan kerjasama Bank Alinma serta pemilik hotel, TH telah menambah dua lagi mesin ATM menjadi tiga, sekali gus merangkumi kemudahan untuk semua zon penginapan jemaah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada petugas media selepas merasmikan mesin ATM Bank Alinma di Hotel Land Premium di sini yang turut dihadiri pemilik hotel berkenaan Sheikh Esam Saifuddin dan Sheikh Khalid Saifuddin.

Sebelum ini kemudahan mesin ATM itu hanya disediakan di Hotel Abraj Al-Janadriyah yang juga Ibu Pejabat TH di Zon A bagi kemudahan lebih 8,000 jemaah di hotel penginapan itu dan sekitarnya.

Pada tahun ini ia diperluaskan ke Hotel Land Premium yang terletak di Zon D dan Rehab Al-Janadriyah (Zon C).

Bagi jemaah di hotel penginapan Zon B pula iaitu Hotel Zwar Al-Bit, Jawharat Al-Bit dan Al-Fajer Al-Badya 2, jemaah boleh menggunakan mesin-mesin ATM yang terletak di Menara Jam dan kawasan sekitarnya.

“Dengan adanya mesin ATM ini, jemaah tidak lagi perlu membawa duit dalam jumlah yang banyak kerana dikhuatiri wang boleh tercicir atau kecurian ditambah lagi dengan keadaan jemaah yang semakin ramai ketika ini.

“Keselamatan itu penting dan selain itu jemaah juga boleh keluarkan wang ikut keperluan semasa sahaja terutama sekali apabila hendak ke Arafah nanti,” katanya.

Sementara itu bagi pasangan Jalani Ahmad dan Nordalilah Ismail dari Negeri Sembilan, kemudahan itu membolehkan mereka mengeluarkan wang dengan jumlah yang diperlukan sahaja, sekali gus mengurangkan risiko kehilangan dan keciciran wang.

Aida Madius dari Sabah bersama rakan sebiliknya Ruby Zainureen Zahedi pula memuji langkah yang dilakukan TH kerana mereka tidak lagi perlu berjalan jauh mencari mesin ATM selain tidak dikenakan caj untuk setiap pengeluaran wang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan