DUNIA

ANWAR GESA PENGLIBATAN DIPLOMATIK LEBIH AGRESIF BAGI SELESAI KETEGANGAN DI LAUT CHINA SELATAN

06/06/2024 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa penglibatan diplomatik yang agresif bagi menyelesaikan ketegangan berhubung kawasan perairan wilayah antara China dan Filipina di Laut China Selatan.

Beliau berkata Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr telah berhubung dengannya mengenai perkara itu, dan Malaysia pula akan meneruskan penglibatan aktifnya dalam kerangka kerja ASEAN.

"Pada peringkat ini saya akan mengatakan bahawa saya memahami kebimbangan Bongbong Marcos dalam banyak perbincangan antara saya dengannya. Apabila dia minta pandangan saya, saya katakan pandangan peribadi saya ialah kita (Malaysia) mengambil cara yang lebih agresif untuk melibatkan diri secara diplomatik dan kita agak berjaya dalam perkara itu.

"Ini kerana ada beberapa isu yang sangat serius juga dengan Malaysia, tetapi kami secara relatifnya lebih berjaya dalam hal itu kerana kami dianggap dan kelihatan benar-benar neutral dalam perbincangan itu," katanya pada persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-37 (APR) disini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan daripada seorang perwakilan dari Filipina mengenai pendekatan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi menangani kebimbangan Filipina di Laut China Selatan.

Anwar seterusnya mengulangi pendiriannya bahawa isu itu perlu diselesaikan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dan China, tanpa campur tangan pihak luar.

“Seharusnya tiada pembabitan dengan pihak-pihak lain kerana ia hanya akan menjadikan perkara itu bertambah kompleks dan merumitkan lagi keadaan,” katanya.

Menurut laporan media Presiden Filipina yang juga dikenali sebagai Bongbong Marcos baru-baru ini memberi amaran kepada China supaya tidak melintasi garis merah di Laut China Selatan, dan perselisihan faham antara kedua-dua negara terus meningkat.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pertikaian lama antara China dan Filipina mengenai wilayah di Laut China Selatan itu semakin bertambah memuncak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan